Pelan Pemulihan Negara bantu pemulihan ekonomi selepas pembukaan sempadan

 

KOTA BHARU: Pembukaan semula sempadan negara merupakan titik tolak bagi pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara yang sebelum ini terkesan teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, berdasarkan beberapa usaha dilaksanakan kerajaan sebelum ini, situasi kedudukan negara pada masa kini kelihatan semakin pulih walaupun masih perlahan disebabkan oleh faktor ekonomi sedunia.

Katanya, usaha kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi penumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara telah membawa kepada pengukuhan ekonomi untuk membantu beberapa sektor kekal bertahan walaupun diancam pandemik Covid-19.

“Seperti kita tahu, banyak sektor terkesan sewaktu Covid-19 dan pelbagai inisiatif dan bantuan disediakan selepas pembukaan pintu sempadan telah menjadi penyumbang kepada pengukuhan semula ekonomi negara,” katanya.

Pada 1 April lalu, kerajaan memutuskan jntuk membuka semula pintu sempadan negara selepas mengenakan sekatan keluar masuk sejak Mac 2020 bagi menangani pandemik Covid-19.

Sebelum pembukaan itu, kerajaan telah menyediakan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata, sektor pelancongan negara yang merupakan antara penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar juga turut kembali rancak selepas pembukaan semula pintu sempadan negara.

“Malah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan sebelum ini juga dapat kembali bernafas ekoran daripada kemasukan pelancong-pelancong luar ke negara ini.

“Malah inisiatif dilaksanakan kerajaan antaranya dengan memberi bantuan gaji pekerja juga telah membantu melonjakkan kembali perusahaan yang terjejas,” katanya.

Tambahnya, terdapat banyak pemain industri yang terselamat menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara itu antaranya dengan lanjutan moratorium bagi mengurangkan bebanan mereka.

“Walaupun nilai bantuan dan inisiatif yang diberikan kerajaan tidak begitu besar namun ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terjejas untuk terus bertahan dalam industri masing-masing,” katanya.

📸Bernama

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *