Goh Liu Ying mahu tamatkan karier selepas Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023

PEMAIN beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying mendedahkan akan menamatkan kariernya sebagai pemain sebaik sahaja Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 yang dijadualkan berlangsung Januari depan tamat.

Pemain berusia 33 tahun itu boleh dianggap antara beregu campuran terbaik Malaysia apabila gandingannya bersama Chan Peng Soon berjaya merangkul pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Liu Ying berkata, setiap kejayaan yang diraih sepanjang bergelar pemain profesional akan menjadi kenangan pa­ling indah biarpun dia berdepan kesukaran selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2018.

“Mengenai perancangan, kejohanan Terbuka Malaysia tahun depan akan jadi kejohanan terak­hir saya. Memang benar kejohanan itu adalah penamat untuk karier saya sebagai pemain badminton.

“Buat masa sekarang, belum tahu saya akan bergandingan dengan siapa pada kejohanan itu nanti. Kita tunggu dan lihat dahulu tetapi apa yang pasti, ia adalah kejohanan terakhir saya,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Pada masa sama, dia juga menganggap penampilan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak akan dilupakan biarpun terpaksa berdepan cabaran bagi melayakkan diri ke temasya itu sebagai pemain profesional.

“Kenangan paling indah sudah tentu pada Sukan Olimpik Rio 2016 di mana kami memenangi pingat perak buat kontinjen negara. Edisi di Tokyo juga adalah memori tidak boleh dilupakan kerana kami berdepan kesukaran sebagai pemain profesional,” ujarnya.

Sebagai rekod, sepanjang penglibatan dalam arena badminton, Liu Ying sudah mengecap beberapa kejayaan terma­suk memenangi Kejohanan Asia serta beberapa Jelajah Dunia dan Siri Super seperti Terbuka Jepun, Thailand Masters dan Terbuka New Zealand.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *