Tok Pa sahkan tidak pertahan Parlimen Jeli 

KOTA BHARU : Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan tidak mempertahankan Parlimen Jeli dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas enam penggal menguasai kerusi itu.

Mustapa berkata, hasrat tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang berkesan.

“Sehubungan ini, saya ingin menzahirkan ucapan setinggi terima kasih kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Jeli yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya merencanakan agenda pembangunan sosioekonomi di kawasan itu sejak tahun 1995.

“Sesungguhnya, saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini untuk mewakili rakyat di Parlimen Jeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai rekod, Tok Pa menguasai Parlimen Jeli sejak tahun 1995 dan mempertahankan kerusi berkenaan selama enam penggal berturut-turut.

Tok juga merupakan penyandang kerusi DUN Ayer Lanas dengan mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan pada 2004 dan 2013.

Mustapa cukup pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan terakhir masih kekal sebagai menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Ekonomi) di bawah kerajaan campuran BN PN.

Antara kementerian yang pernah diterajui Tok Pa seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Timbalan Menteri Kewangan dan banyak lagi.

Dalam PRU14, Tok Pa yang mewakili BN ketika berjaya menewaskan calon Pas dan Bersatu dengan majoriti 6,647 undi.

Seterusnya, Mustapa mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menganggotai jemaah menteri atas bimbingan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berada dalam barisan jemaah menteri.

“Terima kasih kepada kepimpinan kerajaan, penjawat awam, negeri serta parti atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan ahli Parlimen,” katanya.

 

-Habis-

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *