Rakyat lega dapat peluang miliki rumah sendiri

KOTA BHARU: Aspirasi ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ yang akan dibawa oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuka peluang kepada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

Berdasarkan tinjauan dilakukan, kebanyakan rakyat menyambut baik usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan mereka terbela di saat ketidaktentuan ekonomi pada masa kini.

Seorang kakitangan swasta, Nur Shahira Shahril, 35, berkata, harga pasaran rumah ketika ini juga semakin meningkat saban tahun dan insiatif kerajaan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan buat rakyat yang mengidamkan kediaman sendiri.

“Semestinya ramai rakyat menantikan inisiatif sebegini memandangkan ada diantaranya yang kurang berkemampuan dan tidak mampu membayar wang pendahuluan untuk membeli rumah,” katanya.

Sewaktu Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam, Ismail memberi jaminan bahawa setiap keluarga di seluruh negara dapat memiliki rumah sendiri sekiranya Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan beliau kekal selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, perkara itu selaras dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion termasuk Skim Perumahan seperti yang dibentangkan menerusi Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu.

Dalam pada itu, seorang penghantar makanan, Muhammad Amir Ridhuan, 30, berkata, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2023 juga membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memiliki kediaman sendiri.

“Penghantar makanan seperti saya kebiasaannya berdepan masalah untuk membuat pinjaman sekiranya ingin membeli rumah dan inisiatif dilaksanakan ini telah membuka peluang kepada kami untuk memiliki rumah,” katanya.

Tambahnya, keprihatinan ditunjukkan kerajaan itu membuktikan bahawa setiap lapisan masyarakat sentiasa mendapat perhatian bagi memastikan nasib mereka terbela.

“Inisiatif ini sewajarnya diperluaskan agar lebih ramai pihak berpeluang memiliki kediaman sendiri pada masa hadapan dan memberi kesejahteraan buat masyarakat,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *