Langkah kerajaan perkasa sekuriti makanan bantu rakyat dapat bekalan terjamin

KOTA BHARU: Usaha kerajaan memperkasakan aspek sekuriti makanan di Malaysia merupakan langkah bertepatan dalam memastikan negara tidak berdepan krisis bekalan pada masa hadapan.

Dengan perubahan iklim dan ketidaktentuan politik dunia pada masa kini, pengukuhan sekuriti makanan negara pastinya perlu mendapat perhatian serius dalam memastikan rakyat tidak terkesan.

Seorang kakitangan swasta, Mohd Farhan Hassan, 43, berkata, komitmen kerajaan yang memberi penekanan kepada aspek sekuriti makanan dalam Bajet 2023 adalah langkah dalam memastikan seluruh masyarakat mendapat akses makanan mencukupi untuk hidup sihat dan aktif.

“Sewaktu pandemik Covid-19, banyak sektor tidak dapat beroperasi dan telah mendorong kepada berlakukan krisis makanan dalam kalangan rakyat.

“Dan disebabkan itu, mungkin aspek pengukuhan sekuriti makanan ini telah mendapat perhatian khusus daripada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Kerajaan sewaktu Bajet 2023 mengumumkan untuk terus memperkasa sekuriti makanan supaya tidak lagi bergantung kepada bekalan import agar mampu berdaya tahan daripada sebarang kejutan pada masa hadapan.

Bagi meningkatkan penghasilan makanan, kerajaan berhasrat untuk memanfaatkan tanah terbiar milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Dalam pada itu, seorang warga emas, Shahbuddin Ramli, 65, berkata, usaha bagi memanfaat tanah terbiar milik agensi bawah kerajaan itu juga adalah langkah bertepatan berikutan pertanian adalah berperanan sebagai sebahagian daripada tunggak kepada jaminan bekalan makanan negara.

“Eloklah jika tanah-tanah itu diusahakan dengan tanaman tertentu yang pada masa sama dapat membantu kepada jaminan makanan buat rakyat,” katanya.

Tambahnya, peruntukan yang disediakan bagi sekuriti makanan juga membuktikan kerajaan cuba untuk mengukuhkan keseluruhan rantaian bekalan dalam negara ini.

“Pastinya usaha kerajaan mengukuhkan sekuriti makanan di negara ini memberi kelegaan buat rakyat,” katanya.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *