700 unit kediaman PPR di Alor Pongsu terima subsidi RM81.2 juta – PM

KEPALA BATAS: Kerajaan hari ini mengumumkan pembinaan 700 unit kediaman Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Alor Pongsu, Seberang Perai Utara di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek bangunan empat tingkat bernilai RM170 juta itu adalah salah satu inisiatif Keluarga Malaysia.

Katanya, Projek PPR Kepala Batas itu turut menyediakan tujuh unit rumah sebagai memenuhi keperluan orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata, projek berkenaan sebagai memenuhi keperluan kediaman untuk golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan dan masih belum memiliki rumah.

“Kos pembinaan seunit rumah ini adalah RM161,000 tetapi ia akan dijual pada harga RM45,000 seunit.

“Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan bagi projek ini adalah sebanyak RM81.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pecah tanah PPR Kepala Batas, Masjid Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) di sini, pada Rabu.

Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 156 Program PPR meliputi 100,000 unit kediaman dibangunkan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM8.6 bilion.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *