‘Tandatangan surat lantik saya jadi PM? Itu tipu’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diminta menandatangani surat sokongan yang memberi beliau mandat membentuk barisan Kabinet sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya.

Sambil menyifatkan perkara itu tidak benar, beliau turut menolak dakwaan bahawa calon UMNO diminta menandatangani surat berkenaan yang melantiknya sebagai Perdana Menteri.

“Itu tipu,” jelasnya ringkas ketika ditemui wakil media ketika perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang didengar di Mahkamah Tinggi di sini.

Ahmad Zahid diminta mengulas laporan sebuah portal semalam bahawa calon yang diberikan watikah pelantikan turut diminta menandatangani surat yang menyokong Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri dan membentuk Kabinet baharu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid enggan mengulas mengenai kemelut dalaman berkait pemilihan calon BN bagi kerusi Parlimen Arau pada PRU15.

“Tunggu malam ini untuk jelaskan spekulasi”, kata beliau.

Kemelut dalaman semakin memuncak selepas penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membayangkan beliau digugurkan daripada senarai calon apabila semua bilik gerakan BN Parlimen Arau ditutup, selain bendera parti itu juga diturunkan.

Penutupan bilik gerakan parti berkenaan dan penurunan semula bendera BN yang sudah digantung sebaik Parlimen dibubarkan turut dilaporkan menerusi hantaran Facebook oleh Shahidan, malam semalam.

“Malam ini malam kesedihan teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera sudah diturunkan. Kali pertama dalam sejarah,” tulis beliau.

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *