Sudah hampir penghujung 2022, masih ada yang percaya kisah Volkswagen kuning?

BENTONG: Seram! Misteri kehadiran sebuah Volkswagen kuning di Lebuhraya Karak yang dianggap berhantu terus diperkatakan sehingga ada percaya kawasan tertentu di sepanjang lebuh raya berkenaan berpuaka.

Cerita yang menjadi perbualan hangat masyarakat itu dikatakan tersebar sejak tahun 1956 tetapi kewujudannya tidak dapat disahkan kerana tiada bukti kukuh.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor, menyangkal kehadiran Volkswagen itu berdasarkan hakikat, pihaknya tidak pernah menerima laporan individu diganggu hantu hingga terbabit nahas jalan raya.

Beliau berkata, dakwaan wujud Volkswagen berwarna kuning yang dikatakan mengganggu pengguna lebuh raya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Karak di sini, sejak beberapa dekad lalu, adalah mengarut.

“Sepanjang enam tahun berkhidmat di sini, saya belum pernah menerima laporan membabitkan hantu. Anggota di bawah tanggungjawab saya juga tidak pernah berdepan perkara seperti ini ketika bertugas.

“Malah, masyarakat di sini juga tidak pernah menceritakan kejadian misteri itu kepada saya,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Bentong, di sini.

Beliau berkata, kemalangan yang kerap berlaku di Lebuhraya Karak adalah disebabkan kecuaian pemandu yang memandu laju, ditambah faktor jalan raya yang berliku serta berbukit.

Katanya, apa yang berlaku ialah tokok tambah cerita selepas berlaku kemalangan, antaranya ternampak hantu dan perkara itu kemudian diperbesarkan.

“Siasatan kami selepas kemalangan juga tidak menemui sebarang perkara pelik, sebaliknya ia berlaku sama ada berpunca daripada kesilapan manusia atau masalah teknikal pada sesebuah kenderaan,” katanya.

Mohammad Mansor berkata, dakwaan mengatakan anggota polis peronda melihat seorang lelaki dimakan hantu selepas mencari air akibat kereta rosak juga tidak benar.

“Cerita di jalan lama Karak sudah lama disensasikan sehingga ia difilemkan, hakikatnya ia tidak berlaku,” katanya.

Beliau yang berpengalaman dalam melakukan forensik berkata, beliau tidak pernah melalui pengalaman menakutkan sepanjang menguruskan mayat, tidak kira mangsa bunuh atau terbabit kemalangan.

Sementara itu, penduduk Karak, Ros Khairi Manaf, 50, ketika ditemui turut menafikan dakwaan pelbagai kisah misteri di kawasannya.

“Saya memandu teksi selama 10 tahun dan lori selama tujuh tahun. Boleh dikatakan setiap hari saya melalui jalan berkenaan tanpa mengira waktu.

“Saya tidak pernah terjumpa atau terlihat perkara seperti itu. Malah, rakan sekerja juga tidak mengalami perkara demikian,” katanya yang mengakui makhluk halus itu wujud.

Beliau berkata, perkara berkaitan makhluk halus itu ada, cuma ia tidak menonjolkan diri seperti digembar-gemburkan.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *