PRU15: Tok Pa tidak pertahan Parlimen Jeli ?

KOTA BHARU : Selepas enam penggal menguasai Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dikatakan tidak akan mempertahankan kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mustapa atau lebih mesra disapa Tok Pa dikatakan mengambil keputusan tidak bertanding disebabkan faktor kesihatan dan merasakan sudah terlalu lama di situ seterusnya ingin memberi laluan kepada muka baharu.

Menurut sumber, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perikatan Nasional (PN) bakal menampilkan Setiausaha Politik Mustapa iaitu Zahari Kechik sebagai calon Parlimen tersebut.

Zahari juga merupakan adik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Bunga, Mohd. Adhan Kechik.

Sebagai rekod, Tok Pa menguasai Parlimen Jeli sejak tahun 1995 dan mempertahankan kerusi berkenaan selama enam penggal berturut-turut.

Tok juga merupakan penyandang kerusi DUN Ayer Lanas dengan mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan pada 2004 dan 2013.

Mustapa cukup berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan terakhir masih kekal sebagai menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Ekonomi) di bawah kerajaan campuran BN PN.

Antara kementerian yang pernah diterajui Tok Pa seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain Timbalan Menteri Kewangan dan banyak lagi.

Dalam PRU14, Tok Pa yang mewakili BN ketika berjaya menewaskan calon Pas dan Bersatu dengan majoriti 6,647 undi.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *