BN Pahang pertaruh sayap Pemuda, Wanita, Puteri

JERANTUT: Barisan Nasional (BN) Pahang mempertaruhkan 60 hingga 70 peratus muka baharu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, calon-calon itu terdiri kombinasi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta orang lama yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Calon muda berkenaan merupakan kalangan mereka yang dipilih oleh UMNO Bahagian masing-masing dianggap calon boleh menang dan mempunyai pengaruh.

“BN Pahang sudah membuat pertimbangan yang tepat serta yakin dengan kewibawaan calon berkenaan untuk berdepan pembangkang yang dijangka memberi tentangan sengit pada PRU15,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 dan Hal Ehwal Murid Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Jerantut di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, kira-kira 75,000 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun yang akan mengundi kali pertama diyakini akan memihak kepada BN kerana mereka sudah didekati sejak awal lagi.

“BN Pahang menjangkakan kira-kira 300,000 pengundi yang mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRU15, 19 November ini.

“Saya amat yakin pengundi berkenaan akan memilih BN walaupun bukan 100 peratus,” ujarnya.

Kredit : Utusan

 

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *