Pembinaan sekolah menengah baharu di Triang dibawa ke EPU – PM

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu di Triang akan diperhalusi demi kepentingan penduduk di kawasan itu.

Beliau berkata, cadangan pembinaan sekolah menengah yang diketengahkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sri Buntar akan dibawa ke Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Pembinaan sekolah baharu selalunya melibatkan jumlah kewangan yang besar dan ia perlu diperhalusi sebelum diluluskan.

“Saya akan bangkitkan perkara ini di EPU dan sudah tentu ia perlu melalui beberapa proses termasuk mendapat persetujuan dan kelulusan Kabinet,” katanya pada Program Moh Ngeteh dan Rakyat Bersama Komuniti, di Kampung Sri Buntar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi pembinaan sebuah dewan serbaguna di sini.

Kawasan perkampungan itu masih belum mempunyai sekolah menengah melainkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), sementara SMK terdekat terletak di Bandar Kerayong yang jaraknya kira-kira enam kilometer dan di Mengkarak yang berjarak 13 kilometer.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sri Buntar, Abd. Khalil Husin berkata, sudah lama penduduk di situ mengimpikan sebuah sekolah menengah bagi memudahkan anak-anak bersekolah berhampiran dengan rumah mereka.

“Sudah lama kita berhasrat untuk ada sekolah menengah di sini. Kalau diluluskan, saya mencadangkan sekolah ini dibina di tapak tanah berdekatan sekolah rendah di sini.

“Jika tak dapat pun, saya harap kerajaan mempertimbangkan perkara ini dengn lebih serius memandangkan jumlah penduduk di sini yang semakin bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Kredit : Kosmo

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *