BN calon nama Annuar kekal di Ketereh

MACHANG: Barisan Nasional (BN) negeri sudah menamakan Tan Sri Annuar Musa untuk kekal sebagai calon parti itu di Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pencalonan itu selari dengan status Annuar selaku penyandang kerusi parlimen berkenaan sebelum ini.

Menurutnya, pada masa yang sama nama penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li turut dicalonkan.

“Selain kedua individu itu, BN negeri turut menamakan saya sebagai calon selaku penyandang kerusi Parlimen Machang.

“Tugas saya di peringkat negeri sudah selesai dengan mengemukakan semua senarai calon untuk mewakili BN pada PRU15 itu nanti,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Jentera BN Kelantan di Labok di sini hari ini.

Ahmad Jazlan memberitahu, semua itu diserahkan sepenuhnya kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat keputusan akhir nanti.

Katanya, sehingga setakat ini tiada siapa yang boleh mengaku sebagai calon walaupun nama disebut selagi tidak menyerahkan borang kepada Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Semua yang tersebar berkait dengan calon itu boleh disifatkan sebagai khabar angin,” jelasnya.

Utusan Online hari ini melaporkan, arena politik Kelantan yang sebelumnya ‘dingin’ bertukar ‘kecoh’ apabila nama Annuar dilaporkan tidak tersenarai sebagai BN pada PRU15.

Utusan Malaysia setakat ini difahamkan hanya dua nama penyandang yang masih diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon Parlimen pada PRU15 nanti iaitu Ahmad Jazlan dan Tengku Razaleigh.

Difahamkan, Annuar bakal digantikan oleh Ketua Puteri UMNO negeri yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin.

Bagaimanapun, cakap-cakap yang mulai tersebar sejak malam tadi itu tidak dapat dipastikan kebenarannya sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat di negeri ini terutama kawasan Parlimen Ketereh.

Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi itu dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas (Wan Ismail Wan Jusoh) dan PKR (Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin).

Annuar memperoleh undian sebanyak 25,467 undi, Pas (20,841) dan PKR (6,799).

 

Kredit: Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *