Kerajaan terus beri galakan, bantu pekebun kecil

KOTA BHARU : Kerajaan cuba menggalakkan pekebun kecil menceburi bidang alternatif lain menerusi pemberian peruntukan dalam Program Pembangunan Usahawan bagi memastikan mereka tidak hanya bergantung harap terhadap hasil komoditi semata-mata.

Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, harga komoditi sawit pada masa kini kelihatan tidak stabil dan usaha diambil kerajaan itu adalah bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan kepada mereka.

Katanya, hal demikian agar
mereka dapat lebih berdaya saing bagi menjana pendapatan tambahan.

Ujarnya, peruntukan berkenaan merupakan antara usaha bagi memastikan mereka menceburi bidang keusahawanan.

“Saya rasa hasrat kerajaan menerusi pemberian peruntukan ini adalah supaya pekebun kecil dapat cari alternatif dengan terlibat dalam bidang keusahawanan bagi mengatur kehidupan masa depan mereka dengan lebih baik,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu berucap sempena Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia@Bera hari ini mengumumkan sejumlah RM4.81 juta telah diperuntukkan bagi memperkasa Program Pembangunan Usahawan di Pahang yang memberikan faedah kepada seramai 474 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut meluluskan sejumlah RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemberian BMT itu, Ahmad Marthada berkata, bantuan berkenaan sememangnya amat diperlukan golongan pekebun kecil memandangkan keadaan cuaca di negara yang tidak menentu disebabkan perubahan iklim.

“Pekebun kecil ada yang tidak mendapat hasil disebabkan ancaman iklim ini dan bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka,” katanya.

Tambahnya, pemberian bantuan itu juga dapat digunakan untuk manfaat pekebun kecil memandangkan kumpulan ini sering kali terjejas disebabkan faktor bencana, kegawatan ekonomi dunia dan ketidakstabilan harga komoditi semasa.

“Ini merupakan usaha berterusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri dalam memastikan pekebun kecil dapat mengharungi krisis yang melanda negara,” katanya.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *