‘Saya ‘salute’ pegawai-pegawai kerajaan – Mat Sabu

 

KANGAR: Pegawai-pegawai kerajaan tidak sewajarnya dipersalahkan apabila berlakunya sesuatu isu memandangkan mereka hanya berkhidmat mengikut arahan pemerintah.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, beliau amat menghormati pegawai-pegawai kerajaan memandangkan mereka melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan bersungguh-sungguh.

Mengimbau kembali sewaktu bertugas sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau banyak mendapat tunjuk ajar dan berbincang sesuatu perkara tidak difahami dengan pegawai kerajaan yang memberi penjelasan sewajarnya.

“Saya ‘salute’ dengan pegawai-pegawai kerajaan kerana mereka menjalankan tugas bersungguh-sungguh.

“Kita tengok orang salahkan pegawai kerajaan (tapi) saya tak setuju kerana mereka bekerja mengikut rentak pemerintah,” katanya ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan peringkat Perlis semalam.

Mohamad sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan selepas kerajaan PH berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam ceramah tersebut, Mohamad juga sentiasa memuji setiap belanjawan negara yang dibentangkan di Parlimen memandangkan ia disediakan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas secara serius.

Katanya, pihak terlibat juga telah berkorban masa dan cuti bagi memastikan sesuatu tugasan itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“(Contohnya) Pegawai kerajaan di kementerian saya berkhidmat sebelum ini pernah dikehendaki menyiapkan Kertas Putih Pertahanan dan ada di antaranya yang datang kerja pada hari cuti, sampai pukul 2 hingga 3 pagi tidak pulang untuk siapkan kertas itu,” katanya.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *