Kerajaan sentiasa beri tumpuan nasib peneroka Felda

KOTA BHARU : Langkah kerajaan yang bersetuju melantik wakil belia Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda merupakan satu usaha bertepatan bagi memberikan tumpuan kepada keperluan penduduk di tanah rancangan itu.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, pelaksanaan itu merupakan satu inisiatif yang baik memandangkan golongan muda mempunyai idea lebih segar dan bersesuaian dengan perubahan semasa.

Katanya, pelaksanaan tersebut juga memudahkan lagi penyaluran maklumat dan pandangan memandangkan pihak terlibat berada dalam kelompok pembuat keputusan.

“Ini memudahkan penyaluran informasi bagi melaksanakan pembaharuan dan perubahan yang ingin dibawa ke Felda tanpa melalui apa-apa keterbatasan.

“Malah ia meningkatkan motivasi dan pemahaman untuk meneruskan agenda Felda daripada sudut pandang golongan belia sendiri,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia, Kami Anak Felda (KAF) dan Permuafakatan Siswa/Siswi FELDA (PERSADA) di Menara Felda pada Februari lalu menyatakan bahawa kerajaan bersetuju dengan pelantikan golongan belia itu sebagai mengiktiraf peranan mereka dalam bersama-sama membantu membangunkan tanah rancangan berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai usaha kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang memperuntukkan RM700 juta bagi penyediaan kemudahan infrastruktur buat warga peneroka Felda, Sivamurugan berkata, usaha itu sememangnya dapat memacu kepada pembangunan penduduk setempat malah ia juga merupakan permulaan bagi menambah baik kehidupan masyarakat di sana.

“Kalau tak salah saya sekitar 52 kawasan Felda seluruh negara sebelum ini dikenal pasti memerlukan pembangunan infrastruktur dan sememangnya usaha dilaksanakan ini bertepatan dan keperluan di sana.

“Kerajaan juga harus memastikan setiap kawasan Felda seluruh negara mendapat tumpuan secara sama rata bagi memastikan nasib peneroka ini terbela,” katanya.

Terdahulu Ismail Sabri memaklumkan
warga Felda sentiasa istimewa dan akan terus ‘dijaga’ kerajaan, termasuk generasi kedua tanah rancangan tersebut.

Pada program Himpunan Keluarga Felda, Teguh Bersama di Felda Mayam, Ismail Sabri berkata, pelbagai insentif diberikan kerajaan kepada warga Felda sejak awal penubuhan tanah rancangan itu, mencerminkan betapa istimewanya warga Felda kepada kerajaan.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *