Kerajaan ambil pendekatan serampang dua mata bantu tingkat sosio ekonomi rakyat

 

KOTA BHARU : Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan pendekatan serampang dua mata bagi membantu meningkatkan sosio ekonomi rakyat khususnya di Pahang menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Pakar Ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, inisiatif itu bukan sahaja berjaya menarik pelaburan ke negeri itu malah ia turut menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan khususnya pasca Covid-19.

Katanya, bagaimanapun, kerajaan harus memastikan peluang-peluang pekerjaan yang disediakan itu adalah terdiri daripada sektor yang diminati oleh anak-anak tempatan.

“Ini adalah agar manfaat yang diperolehi itu memberi pulangan sewajarnya kepada anak-anak tempatan di sana dalam membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya.

Sewaktu Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Pahang hari ini, Ismail Sabri menyatakan bahawa ECERDC berjaya menarik pelaburan sebanyak RM5.3 bilion ke negeri itu yang akan mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memperuntukan sebanyak RM1.307 bilion bagi menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang, sekaligus akan membuka kawasan baharu di negeri itu.

Mengulas mengenai peruntukan bagi menaik taraf infrastruktur itu, Shazali berkata, usaha berkenaan sememangnya bakal merancakkan ekonomi masyarakat di sana.

“Dengan tersedianya kemudahan infrastruktur sebegitu, pastinya barang-barang perdagangan dan pertanian akan mudah untuk dihantar sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Tambahnya, kemudahan asas yang lengkap juga dapat menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu dan menjadi nilai tambah buat negeri Pahang.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *