PRU-15: PN sasar menang 14 kerusi di Kelantan

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) mensasarkan kemenangan di 14 kerusi Parlimen di Kelantan dalam usaha untuk membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagi mencapai sasaran berkenaan semua pihak perlu berusaha dalam pelbagai aspek untuk melawan Umno dan parti lain.

“Kita perlu tunjukkan bahawa Umno tidak lagi relevan selain sukar untuk dibawa berbincang atau bekerjasama. Melalui usaha dan perpaduan kita akan dapat lihat sebuah kerajaan baharu.

“Pas yakin Malaysia boleh jadi sebuah negara lebih baik. Hasil kekayaan negara juga boleh diagihkan dengan adil apabila kita menggunakan dasar Islam dalam pentadbiran negara.

“Pentadbiran dilaksanakan berasaskan al-Quran iaitu keadilan, kemerdekaan, kebebasan dan persamaan,” katanya menerusi ucapan di Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di perkarangan Stadium Sultan Muhammad V, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam majlis sama, beliau menjawab bahawa gelaran parti ‘pak lebai’ yang dilabel oleh pemimpin parti politik bukan gelaran yang hina, malah gelaran penyamun politik lebih hina daripada ‘pak lebai’.

“Banyak pencapaian Pas selama 32 tahun memimpin Kelantan dan rahsianya adalah kerana mendapat sokongan hebat terutama dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.

“Selain itu, kekuatan Pas juga adalah kerana pegangan pentadbiran berasaskan Islam yang bukan sahaja memberikan kekuatan pemerintahan tetapi juga memberi contoh terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *