Jangan nafikan sumbangan kerajaan Keluarga Malaysia

SAUDARA PENGARANG,

Saya ingin mengulas dan menafikan kenyataan Ahli Majlis Eksekutif Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azman Mohd. Hashim dalam ruangan Forum bertajuk GTA ditubuhkan untuk jadikan Malaysia negara yang baik yang diterbitkan pada 19 September lalu.

Walaupun berlaku pelbagai penyelewengan, keadaan ekonomi negara adalah baik dan tidak seburuk yang digambarkan oleh Pejuang.

Sebagai bukti, kakitangan kerajaan yang berhenti tetap dapat bayaran pencen dan sejumlah wang ganjaran. Keduanya, kakitangan kerajaan tetap mendapat kenaikan gaji tahunan dan bonus.

Di samping itu, bantuan dan sumbangan terhadap rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan bencana banjir telah pun disalurkan. Janganlah sewenang-wenangnya menafikan kebaikan kerajaan untuk rakyat.

Yang jelas dan nyata, negara kita tidak mungkin akan menjurus kepada kebankrapan. Dalam mengejar kuasa politik, janganlah kita mengharu-birukan pemikiran rakyat dengan kenyataan-kenyataan tanpa bukti kukuh.

Sebenarnya ada suatu perkara yang tersembunyi ekoran keengganan Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur dari arena politik. Ramai sahaja yang mengetahui sebab tersebut tetapi tidak diuar-uarkan kerana cuba ditutup oleh kuncu-kuncu kuatnya.

Selain itu, yakinkah mereka bahawa semua pemimpin GTA boleh menguatkan iman rakyat Malaysia? Ini kerana maruah manusia bukan hanya berkaitan dengan rasuah dan penyelewengan semata-mata tetapi masalah sosial seperti mabuk. Ramai yang kehilangan nyawa akibat dilanggar oleh pemandu mabuk terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam.

Ia bukanlah masalah perkauman tetapi masalah nyawa yang perlu diselesaikan selain isu penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW. Kenapa pembangkang senyap sunyi, sepi dan tidak bersuara apabila Islam dipermainkan?

TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang

 

Kredit : Utusan

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *