Tubuh pusat konservasi gajah di Ulu Tembeling

JERANTUT: Malaysia memerlukan sebuah lagi pusat rehabilitasi gajah di Ulu Tembeling berdekatan Taman Negara sebagai langkah menghalang haiwan liar itu menceroboh ke kawasan penempatan penduduk.

Setakat ini, kawanan gajah sering memasuki Kampung Gusai, Kampung Poh, Kampung Mat Daling, kampung Bantal, Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi (Mukim Ulu Tembeling), Kampung Gol, Kampung Padang, Kampung Labu, Kampung Lubuk Payung, Kampung Ulu Retang, Kampung Orang Asli Kuala Atok (Mukim Tembeling Tengah).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sukarelawan Bird Group Taman Negara (BGTN), Sabri Abdullah berkata, kerajaan perlu mewujudkan habitat baharu dan kawasan sumber makanan gajah liar bagi mengelakkan haiwan ini terus menceroboh kampung.

“Pihak berwajib perlu mencontohi serta mempelajari kepakaran Thailand tentang projek konservasi gajah kerana mereka sentiasa bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Nature and Wildlife Association yang berjaya mengurangkan konflik antara manusia dengan gajah.

“Usaha ini bukan sahaja dalam bidang pemuliharaan sebagai pelantar menjana sektor pelancongan, tetapi keseriusan kebanyakan penduduk luar bandar yang mempunyai aplikasi secara dalam talian untuk berhubung dengan pihak berkuasa dan NGO jika menemukan gajah termasuk menjaga keselamatan dan kebajikan haiwan ini,” katanya di sini semalam.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Gol, Abu Jamil Awang Mahmud berkata, penduduk di situ berdepan kerugian apabila kawasan tanaman kerap diceroboh oleh gajah liar dan kali terakhir pada awal tahun ini.

“JPKK di sini pernah memohon kerajaan supaya membina pagar elektrik antara pinggir hutan berdekatan dengan kampung ini supaya ancaman berkenaan tidak akan berulang,” katanya.

Penduduk Kuala Sat, Zulkefli Jamaludin menambah, walaupun sudah dicadangkan kawasan ‘rayau’ berdekatan Bukit Awan (laluan antara Kampung Pagi ke Kuala Sat) untuk haiwan liar itu mencari makanan, gajah liar kerap memasuki kawasan penempatan.

“Ini kerana kawasan kampung lebih banyak tanaman seperti pisang, jagung, tebu dan tumbuhan lain yang menjadi sumber makanan haiwan liar ini. Penduduk berdepan risiko kerugian apabila pencerobohan kawanan gajah liar mengakibatkan kemusnahan benih pokok getah dan sawit sehingga menanggung beban untuk tanam semula,” katanya.

Pengerusi JPKK Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah juga berdepan masalah yang sama apabila kampung itu juga kerap dicerobohi kawanan gajah liar sehingga merosakkan tanaman kelapa, kediaman dan pakaian.

“Berasaskan laporan penduduk, kawanan gajah liar ini cuma ‘bersembunyi’ di kawasan hutan berdekatan kampung ini kerana sebelum ini habitat haiwan ini sudah dibangunkan dengan projek pembangunan ladang yang luas pihak tertentu,” katanya.

Kredit : Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *