Dua murid hampir jadi mangsa culik di luar pagar sekolah

GUA MUSANG – Dua murid sekolah rendah dipercayai hampir menjadi mangsa culik kepada dua lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah sekolah di sini, dalam tempoh dua hari berturut-turut minggu ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 5 petang pada Isnin lalu melibatkan murid perempuan tahun empat selepas Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).

Menurutnya, kejadian kedua pula berlaku di lokasi dan waktu sama membabitkan murid lelaki tahun satu.

“Kedua-dua murid terbabit dipanggil oleh dua lelaki yang tidak dikenali untuk menaiki kenderaan mereka. Dalam kejadian pertama Isnin lalu, dua lelaki terbabit didakwa menaiki kereta jenis Perodua Kancil berwarna putih yang berada di seberang jalan telah memanggil murid perempuan itu.

“Bagi kejadian kedua pula, dua lelaki itu menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu didakwa bertindak memanggil seorang murid lelaki. Bagaimanapun, kedua-dua murid itu tidak menghiraukan panggilan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Choon Foo, polis telah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang tular dalam aplikasi WhatsApp itu hari ini.

Katanya, pihak polis memandang serius kejadian berkenaan dan akan membuat rondaan serta pemantauan di sekolah berkenaan ketika waktu tengah hari semasa sesi persekolahan tamat dan petang iaitu selepas KAFA.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis berharap ibu bapa dapat mengambil anak masing-masing tepat pada masanya selain menasihatkan anak mereka tidak bermain di luar pagar sekolah.

“Kami juga berharap tiada sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut dan boleh berhubung terus dengan pihak polis di talian 011-5551 8768,” katanya.

Kredit : Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *