Adakan PRU15 waktu yang tepat

 

KUALA LUMPUR : Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh dilaksanakan pada tahun ini namun pembubaran Parlimen seharusnya dibuat dengan mengambil kira semua perkara.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau berpandangan PRU15 lebih bersesuaian dilaksanakan pada bulan November ini atau awal tahun hadapan berikutan tempoh itu merupakan waktu terbaik bagi proses pemilihan tersebut.

“Saya tak ada masalah kalau (PRU15) tahun ini, namun jangkaannya biarlah betul.

“Yang terbaik adalah jika banjir diramal bulan Disember, kita boleh buat PRU15 pada bulan November. Kalau tak pun, tahun depan,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan negara akan berdepan hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan banjir di Kuala Lumpur, Shahidan berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi bencana itu pada akhir tahun ini dengan turut mengenal pasti 25 lokasi hotspot.

“Proses membawa mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga tiada masalah kerana kita telah bersiap siaga sejak dari awal lagi,” katanya

Tambahnya, usaha turut dilakukan bagi memastikan air Sungai Klang tidak melimpah keluar sekiranya hujan lebat berterusan di ibu kota malah Jawatankuasa Banjir di Wilayah Persekutuan akan menggunakan beg pasir sementara waktu bagi mengatasi permasalahan itu.

“Pembinaan tembok juga sedang dilaksanakan ketika ini bagi menggelakkan air dari Sungai Klang itu melimpah keluar jika hujan lebat berterusan,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *