4 kedai makan kotor di Kuala Krai diarah tutup

 

KUALA KRAI :Empat buah kedai makan di sini diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Pengarah JKNK, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, premis tersebut didapati tidak menepati kriteria semasa pihaknya menjalankan Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 09/2022 yang dikendalikan Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan jabatan tersebut semalam.

Menurutnya,sebanyak 64 premis makanan di sekitar Bandar Kuala Krai, kawasan peranginan Dabong, Jelawang, Kampung Laloh dan Jalan Kuala Krai-Gua Musang telah diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Sebanyak empat premis diarahkan tutup maksima selama 14 hari di bawah seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.

“Selain itu, sebanyak 72 notis kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, antara kesalahan yang tertinggi dicatatkan adalah di bawah Peraturan 32(1)(b), iaitu kegagalan pengendali makanan memakai pakaian pengendali makanan yang lengkap semasa mengendali makanan iaitu sebanyak 57 notis kompaun telah dikeluarkan.

Katanya, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

“Para pengusaha dinasihatkan agar mematuhi segala aspek berkaitan kebersihan agar dapat menjamin keselamatan makanan.

“JKNK juga sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan orang ramai dinasihatkan memilih premis makanan yang bersih,” katanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *