UNGA77: PM dijangka ketengah isu Covid-19, situasi Ukraine

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengetengahkan beberapa isu berkaitan cabaran dan konflik global seperti Covid-19 selain situasi di Ukraine, Palestin dan Myanmar pada sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA77) di New York, Amerika Syarikat yang mula berlangsung esok.

Selain isu tersebut, Ismail Sabri juga bakal memberi fokus kepada situasi perubahan iklim serta pembangunan mampan selari dengan tema debat umum kali ini iaitu ‘Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling kait’.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Ismail Sabri yang turut diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia pada sesi itu yang berlangsung bermula 22 hingga 25 September ini.

“Pada tahun ini, Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia secara fizikal semasa debat umum pada 23 September di mana buat julung kalinya ia akan disampaikan dalam bahasa Melayu.

“Ini merupakan inisiatif murni Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa terutamanya di platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Usaha ini juga bakal melakar sejarah penting buat negara,” katanya di sini tadi.

UNGA77 kali ini memfokuskan kepada kepentingan sistem PBB untuk kekal relevan selain memberi penekanan kepada komitmen pemimpin dunia dalam menangani cabaran dihadapi seperti Covid-19, konflik Rusia-Ukraine serta perubahan iklim.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga dijadualkan menyaksikan empat perjanjian melibatkan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Palestin antaranya penubuhan Joint Committee Meeting, kerjasama bidang kesihatan, pelancongan serta hal berkaitan Islam.

“Ismail Sabri juga dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat UNGA77 bagi membincangkan isu kepentingan bersama seterusnya mengeratkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin.

“Perdana Menteri juga akan menghoskan satu majlis makan malam Keluarga Malaysia bagi menyantuni rakyat negara ini di New York,” jelas Wisma Putra.

 

Kredit : Kosmo!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *