Pulau Perhentian, Pulau Redang dapat bekalan elektrik 24 jam

KUALA TERENGGANU: Penantian lebih 20 tahun penduduk dan penggiat industri pelancongan di Pulau Perhentian dekat Besut dan Pulau Redang di sini untuk menikmati bekalan tenaga elektrik secara 24 jam bakal berakhir tiga tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, cadangan pembekalan elektrik dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diluluskan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 6 Julai lalu.

Menurutnya, cadangan di bawah Projek Pulau Tenaga Hijau itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi yang akan memberi manfaat kepada hampir 600 pengguna domestik, 70 pengusaha hotel, resort dan chalet serta 47 pengguna komersial di dua pulau peranginan itu.

“Kerajaan negeri cukup memahami situasi sukar yang dialami pengguna terutama pengusaha hotel dan resort di kedua-dua pulau peranginan tersebut selama ini.

“Akhirnya kini apa yang diharap-harapkan hampir terlaksana apabila KeTSA sudah meluluskan  projek itu yang dijangka siap pada tahun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, antara kekangan dihadapi untuk melaksanakan projek itu sebelum ini termasuk kosnya yang terlalu tinggi kerana kabel fiber optik perlu melalui dasar laut sepanjang 21 kilometer di Pulau Perhentian.

Ketika ini tambahnya, kebanyakan pengusaha resort dan chalet di dua pulau itu hanya menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik selama 24 jam.

Bagaimanapun jelasnya, langkah itu tidak begitu praktikal kerana ia mengeluarkan asap yang banyak, tumpahan minyak diesel dan bunyi bising hingga menimbulkan rungutan dari kalangan pelancong dan aktivis alam sekitar.

Kredit : Utusan

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *