Jangan hanya salah pemimpin, semua wakil rakyat bertanggungjawab

KANGAR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak seharusnya dipertanggungjawabkan atas dakwaan yang mengatakan ekonomi Malaysia semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, setiap wakil rakyat perlu mengambil tanggungjawab berkenaan dan tidak hanya meletakkan sebarang kesalahan kepada pemimpin yang memegang jawatan sahaja.

“Saya tidak pasti sama ada dakwaan (ekonomi merosot) itu betul atau tidak namun setiap daripada wakil-wakil rakyat itu bertangungjawab atas kerajaan yang dibentuknya,” katanya mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkembangan ekonomi negara ketika ini.

Muhyiddin menerusi perkongsian di laman Facebook baru-baru ini menyuarakan kebimbangan terhadap situasi ekonomi negara selain mendakwa Ismail Sabri tidak memandang isu tersebut sebagai sesuatu yang penting.

Namun begitu, Ahli Parlimen Bera itu menegaskan bahawa sekiranya beliau didakwa gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik, maka kegagalan tersebut turut melibatkan MPN.

Mengulas lanjut, Azlan yang juga merupakan Menteri Besar Perlis berkata, mata wang negara sememangnya menunjukkan penurunan berbanding Dolar Amerika namun setiap pihak perlu melihat perkembangan itu dari sudut positif.

“Keadaan ini menjadikan barangan eksport kita lebih kompetetif dan murah kerana mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Tambah beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua sebelum ini juga menunjukkan ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 8.9 peratus malah ia merupakan antara yang tertinggi di rantau ini.

“Sekiranya negara mencatatkan pertumbuhan positif, bagaimana pula kita boleh mengatakan Malaysia mengalami kelembapan ekonomi memandangkan perkembangan ini disokong dengan data dan fakta,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *