Kejayaan Pembangunan Ekonomi Tanggungjawab Kita Bersama

 

Kejayaan pembangunan ekonomi negara adalah tanggungjawab kita semua, kerajaan, perkhidmatan awam, industri, dan rakyat. Semua ada peranan masing-masing, semua penting, saling melengkapi. Tak perlu menuding hari. ‘Ask what you can do’, lebih baik.

PM, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Jemaah Menteri, Exco, Ahli Parlimen dan ADUN, Kepimpinan dan Kakitangan Awam, Industri, Syarikat Gergasi hingga ke Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan setiap rakyat adalah pemain utama, ada tanggungjawab tersendiri. Kita semua bertanggungjawab untuk berusaha, memajukan negara kita. Jangan pandang remeh.

Pemimpin silih berganti. Pembangunan negara bukan karya cerita pendek. Ianya cerpen panjang yang memerlukan komitment setiap pemimpin untuk mengolah perancangan agar kita bergerak kehadapan, bukan undur kebelakang. Fokus kepada agenda perubahan yang memajukan negara, bukan memadam cerita lama.

Malaysia Negara yang Berjaya tetapi Jangan Leka

Malaysia adalah sebuah negara yang diiktiraf kejayaan pembangunannya. Pengiktirafan ini bukan calang-calang, bukan masuk bakul angkat sendiri, bukan retorik, bukan cakap kosong dan bukan ‘Made in Malaysia’.

Pada tahun 2008, Bank Dunia melalui laporan ‘Growth Report’ telah merumuskan Malaysia sebagai salah sebuah negara membangun yang wajar dicontohi. Antara 13 buah negara membangun yang berjaya mencatat pertumbuhan purata 7 peratus untuk tempoh lebih dari 25 tahun sejak 1950.

Laporan yang menyeluruh dan terperinci ini disediakan dan ditandatangani oleh 21 orang pemimpin dan pakar ekonomi dunia termasuk sarjana Nobel ekonomi. Mesti dibaca. Jangan kita menolak pengiktirafan ini. Ini kekuatan kita. Kita telah melakar kejayaan.

Berjaya bukan bererti tiada masalah dan cabaran. Pembangunan ekonomi ‘hidup’, berevolusi. Tidak boleh leka, terlalu selesa. Lanskap persaingan ekonomi dunia telah jauh berubah, semakin sengit.

Kepantasan kemajuan teknologi, perubahan susun atur geo-politik global, perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar yang merudum, serta perubahan sosio-ekonomi masyarakat menuntut Malaysia berubah dalam cara kita mentadbir pembangunan ekonomi negara.

Kerangka perancangan pembangunan yang terkini mesti dibentuk, dilaksana dengan kesungguhan dan komitmen semua pihak.

Pemulihan Tanpa Penstrukturan Semula Merugikan

Krisis ekonomi pandemik Covid-19 menyerlahkan lagi aspek struktur ekonomi negara yang sekian lama telah dikenal pasti perlu berubah.

Pelbagai laporan dan pelan pembangunan negara serta sub-sektor (pendidikan, perdagangan, teknologi, keusahawanan, perpaduan, pertanian, perindustrian, dan banyak lagi), sebelum dan selepas Covid-19, telah menyatakan keperluan perubahan ini. Bukan perkara baharu.

Saya meneliti dokumen-dokumen ini yang dibangunkan oleh pelbagai kementerian dan agensi. Laporan Model Ekonomi Baharu 2010 jelas menggariskan perubahan struktur yang mesti kita laksanakan. Rancangan Malaysia Lima Tahun yang ke 12 dan yang sebelumnya semua menuntut perubahan struktur ini.

Saya sendiri juga menyerahkan satu laporan kepada YAB PM pada penghujung tahun lepas-‘Resetting Malaysia’. Saya amat yakin kita semua tahu apa yang perlu berubah tetapi kesediaan kita menjadi penghalang besar. Belum mencapai komitmen yang mantap. Semua kita mesti bersedia. PM seorang tidak cukup. Maaf, ikhlas pandangan saya untuk Malaysia.

Pemulihan ekonomi penting, tetapi ianya tidak akan bertahan lama sekiranya aspek struktur ekonomi tidak diubah. Ekonomi kita rentan, terdedah kepada kejutan.

Hasil jualan boleh dipulihkan berikutan peningkatan perbelanjaan isirumah dan firma apabila mobiliti dan rentas sempadan dibenarkan. Suntikan fiskal turut menyumbang. Ini pemulihan.

Namun sekiranya struktur lama diteruskan, masih berniaga secara tidak formal, tidak berdaftar, tiada jaringan keselamatan sosial, masih terlalu bergantung kepada buruh asing, dan tidak mengadaptasi teknologi dan tidak meneroka perniagaan digital, ertinya struktur kita tidak berubah. Ini penstrukturan semula.

Polisi, pendekatan dan strategi pembangunan dan peningkatan dayasaing perlu digarab menepati tuntutan semasa. Polisi yang dahulunya baik, berkesan perlu dinilai dan diubah sekiranya perlu. Amalan lama bersifat legasi tidak perlu dipertahankan. Baik dahulu tetapi mungkin tidak sekarang.

Penyusunan institusi awam dan jentera kerajaan perlu dinilai dan diubah bersandarkan tujuan yang betul. Bukan ikut selera semasa, berubah tanpa hala. Pi mai, pi mai, tang tu, kata orang Utara. Perubahan mesti dibuat dan semua mesti diperjelaskan dengan betul kepada semua. Tiada polisi yang terpahat atas batu. Boleh diubah.

Jangan Lengahkan Perubahan

Kelewatan kita membuat perubahan struktur akan memakan diri. Seronok sekejap, buat sementara, tetapi sengsaranya lama. Kesediaan untuk berubah adalah satu ciri yang perlu disuburkan disemua peringkat. Berubah untuk kebaikan dan kejayaan yang berpanjangan.

Perubahan adalah proses yang mencabar. Pasti ada yang akan terkesan buat sementara. Perjelaskan dan tangani mereka yang terkesan, jangan lewatkan perubahan. Menunggu semua bersedia bukan caranya. Semakin lama ditangguh, semakin susah untuk kita berubah kemudiannya. Jangan menabur janji manis yang merugikan negara. Pembangunan ekonomi adalah hakiki, dirasai manfaatnya.

Perubahan perlu dilaksana dengan terancang, teratur, disokong dengan fakta, dilandaskan kepada kerangka dan strategi yang jelas. Bukan semborono. Tidak boleh mendadak sesuka hati.

Perlu ada pasukan khas yang berdedikasi, diberi sumber dan mandat, dilapor dengan jujur dan berkala, diletakkan sasaran dan di ukur kejayaannya. Pasukan ini perlu diberi ruang secukupnya untuk mencapai semua aspek pembangunan negara. Merancang, melaksana, memantau bersama dengan kementerian dan agensi berkenaan secara satu pasukan dan melapor terus kepada PM.

Perubahan perlu menyeluruh, tidak mungkin dilaksanakan oleh satu kementerian. Perlu ada penyelerasan antara semua agensi. Tembok besar yang mewujudkan pengasingan antara kementerian dan agensi awam mesti diroboh. Kejayaan negara perlu diutamakan bukan kejayaan Menteri atau kementerian tertentu. Kejayaan jangka panjang, bukan sementara.

Pemulihan dan tindakan penstrukturan semula ekonomi wajar digerakkan serentak. Kesan krisis ekonomi pandemik Covid-19 tidak boleh diubati dengan menelan Panadol sahaja. Disebalik krisis yang kita saksikan adalah satu manifestasi yang jelas, ekonomi kita amat memerlukan perubahan struktur. Semua perlu bertindak. PM mengemudi, kita warga awam dan swasta menjayakannya, bertindak bersama. Ayuh Malaysia.

MINDA UKM-bersedia untuk Malaysia.

-Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Noor Azlan Ghazali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *