Sabar-sabarlah PRU15, tunggu lepas banjir

YA, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat.

Masa terdekat mungkin minggu depan, sebulan, dua bulan, tiga bulan atau lebih.

Mungkin terlebih semangat dan yakin, Presiden UMNO juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah memberi peringatan sekiranya PRU15 dilaksanakan pada pertengahan November, ada kemungkinan banjir besar berlaku kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

Adalah lebih baik, PRU15 diadakan selepas musim banjir bagi memberi keutamaan kepada kerajaan fokus membantu rakyat yang mungkin terjejas dengan bencana itu.

PRU15 dalam musim banjir juga ditentang oleh pembangkang yang melihat pelaksanaan ketika negara dijangka berdepan musim tengkujuh dan banjir disifatkan sebagai satu tindakan terburu-buru.

Buat apa terburu-buru, UMNO dan BN kan sudah yakin kembali diterima rakyat dan sudah bersiap-sedia. Apabila tibanya berentaplah apabila Parlimen dibubarkan.

Jangan disebabkan sikap terburu-buru itu menyebabkan rakyat kembali menyampah dan hilang kepercayaan disebalik momentum sokongan terhadap BN kembali baik.

Pada masa ini, biarlah kerajaan pimpinan Ismail Sabri fokus terlebih dahulu dalam membela nasib rakyat khususnya ketika banjir besar dijangka berlaku pada hujung tahun ini.

Ismail Sabri sudah beberapa kali memberi jaminan PRU15 akan diadakan dalam tempoh terdekat. Berilah ruang kepada beliau dan janganlah terlalu mendesak.

Biarlah PRU15 dalam suasana yang betul-betul tenang bagi membolehkan rakyat keluar dengan senang hati menunaikan tanggunjawab tersebut.

Jika banjir, hujan lebat, bagaimana mereka hendak keluar mengundi.

Ismail Sabri kini dilihat terus fokus membela nasib rakyat dengan setiap hari ada saja pengumuman atau khabar gembira untuk manfaat rakyat. Rakyat mula selesa, gembira dengan kepemimpinan Perdana Menteri

Secara tidak langsung ia juga memberi kelebihan kepada UMNO dan BN dalam PRU15 disebabkan Perdana Menteri yang berjaya menjalankan tugas dengan baik itu
datangnya dari parti tersebut.

Sabarlah, tidak lari gunung dikejar, sampai masa tidak lewat sesaat pun, Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU15 diadakan.

Foto: BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *