Pakat sibuk PRU15, PM pula sibuk, terus fokus bela nasib rakyat

 

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka pada bila-bila masa. Tiba masanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong akan membubarkan Parlimen.

Ketika ini, semua parti-parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) sendiri sudah bersiap-sedia dengan kekuatan jentera masing-masing bagi memasuki gelanggang pilihan raya.

Dalam pada parti-parti politik sedang sibuk berbicara soal pilihan raya, Perdana Menteri pula terus fokus dengan masa yang ada sebelum pilihan raya dengan membantu dan membela nasib rakyat sehabis baik.

Setiap hari, dapat dilihat ada saja pengumuman-pengumuman baharu yang memberi khabar gembira kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia.

Semua masyarakat tanpa mengira kaum termasuk para pelajar sendiri menerima manfaat.

Selepas berjaya membawa Malaysia keluar daripada krisis kesihatan Covid-19, Perdana Menteri tidak mengambil masa yang lama ke arah usaha pemulihan semula ekonomi selepas hampir dua tahun rakyat teruk terkesan akibat wabak itu.

Lebih setahun kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, rakyat dilihat mula selesa dengan pendekatan Ismail Sabri yang sentiasa tenang disebalik tekanan dari dalam dan luar dengan terus fokus membantu rakyat.

Malah, konsep Keluarga Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri juga mula meresapi dalam jiwa setiap rakyat yang mula bersatu padu tanpa mengira kaum dalam bersama memulihkan kembali negara pasca pandemik.

Perkembangan tersebut secara tidak langsung turut membawa imej dan memberi kelebihan yang baik kepada UMNO dan BN dalam mendepani PRU15.

Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ BN bakal menjadi strategi terbaik untuk menawan hati rakyat.

Sejarah hitam BN tewas buat pertama kalinya dalam sejarah selepas 60 tahun pada PRU14 mungkin tidak akan berulang apabila kepercayaan rakyat mula kembali kepada BN.

Ismail Sabri yang turut dinamakan oleh UMNO sebelum ini sebagai calon Perdana Menteri jika BN menang PRU15 bakal memberi kelebihan kepada parti itu memandangkan rakyat sememangnya mahu pemimpin yang lebih segar, bersih dalam memimpin negara.

Dalam masa yang ada sebelum menjelangnya PRU15, bersama-samalah kita membantu Perdana Menteri meneruskan perancangan-perancangan yang ada demi kepentingan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *