Pindaan Akta Persaingan 2010 pastikan undang-undang persaingan lebih komprehensif – PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Pindaan Akta Persaingan 2010 adalah untuk memastikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata akta itu yang kini dalam proses pindaan terutama berhubung pengenalan peruntukan rejim kawalan penggabungan akan memberikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kuasa untuk menilai dan menyiasat transaksi penggabungan yang berpotensi menyebabkan penumpuan pasaran dan boleh menjurus kepada monopoli dalam pasaran.

“Kita semua tahu karenah monopoli yang sentiasa menimbulkan keresahan dalam kalangan Keluarga Malaysia, lebih-lebih lagi apabila monopoli ini cuba terus-menerus mengganggu persaingan serta menghalang kemasukan pesaing kecil dalam pasaran.

“Pindaan terhadap Akta Persaingan dan Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia ini akan memberi kuasa kepada MyCC untuk menangani isu persaingan yang lazim dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah dengan berkesan dan cekap,” katanya pada ucapan Persidangan Undang-undang Persaingan 2022 MyCC ketiga di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ismail Sabri berkata kerajaan menyokong penuh usaha MyCC untuk memperkenalkan rejim itu dalam memastikan ekonomi negara sentiasa rancak berkembang.

Mengenai Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), Ismail Sabri berkata kerajaan memperakui peranan dan dasar undang-undang persaingan dalam mengawal selia pasaran digital termasuk aktiviti platform digital untuk melindungi pemain tempatan dan perusahaan kecil daripada sebarang kemungkinan tingkah laku antipersaingan atau dibuli oleh pemain yang lebih besar dalam pasaran.

Beliau berkata MyCC dipertanggungjawabkan untuk menyemak dasar sedia ada dan undang-undang persaingan untuk memudahkan pertumbuhan ekonomi bagi merealisasikan pelan tindakan itu.

Perdana Menteri yang turut menyentuh mengenai isu kartel yang terbentuk melalui perjanjian sulit antara pesaing-pesaing dalam pasaran yang sama, berkata ia merupakan perlakuan paling serius di bawah Akta Persaingan 2010.

Kredit: Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *