Kes HFMD di Kelantan meningkat

Kota Bharu: Kes baharu jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan meningkat sedikit kepada 522 kes dalam tempoh 10 hari sehingga Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, berbanding minggu lalu, kes yang dicatatkan adalah 372 kes.

Katanya, kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-24 itu menunjukkan daerah Kota Bharu paling tinggi iaitu sebanyak 203 kes, diikuti Pasir Puteh (55 kes), Pasir Mas (52 kes), Machang (51 kes), Kuala Krai (40 kes), Bachok (42 kes), Tumpat (28 kes), Gua Musang (25 kes), Jeli (15 kes) dan Tanah Merah (14 kes).

“Hanya empat daerah masih berada dalam zon merah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Machang.

“Kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun paling ramai dijangkiti HFMD iaitu sebanyak 68.3 peratus, kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun (14.1 peratus), kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun (8.4 peratus), remaja berumur 13 hingga 17 tahun (7.9 peratus) dan golongan 18 tahun ke atas (0.8 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya seorang kanak-kanak yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital dan kes lain mereka masing-masing mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar serta menjalani kuarantin di rumah.

Dr Zaini berkata, walaupun jangkitan tidak teruk, namun semua pihak terutama ibu bapa, penjaga dan pihak taska atau tadika dinasihatkan terus mengambil langkah menjaga kebersihan bagi mengelakkan penularan jangkitan HFMD.

“Kita akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan kes jangkitan menurun,” katanya.

 

Kredit : Harian Metro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *