Limpahan rezeki Aidiladha

Kuala Berang: Kedatangan Aidiladha tidak lama lagi memberi limpahan rezeki buat tukang pisau apabila tidak menang tangan untuk menyiapkan bilah-bilah pisau yang ditempah pelanggan.

Lokman Nor Hakim Sukry, 24, dari Kampung Kuala Menjing, di sini, berkata setakat ini dia menerima kira-kira 300 tempahan pisau pelbagai jenis berharga antara RM80 hingga RM1,200 seunit bergantung kepada jenis besi, ukuran dan model yang dikehendaki pelanggan.

Menurutnya, sambutan terhadap tempahan pisau akan meningkat menjelang Aidiladha apabila orang ramai mahu menggunakannya untuk menyembelih ternakan korban.

“Hingga kini sudah 300 unit pisau ditempah dan bagi menyiapkan kesemua tempahan saya akan memulakan operasi bengkel seawal 8 pagi sehingga 6 petang.

“Namun, untuk menyiapkan banyak tempahan adakalanya saya terpaksa menyambung kerja hingga 10 malam dan dalam sehari biasanya saya bersama dua pekerja mampu menyiapkan lapan hingga 10 bilah pisau,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Matt Der dalam kalangan peminat pisau dan penduduk kampung.

Menurutnya, dia menghasilkan lebih 10 jenis pisau antaranya golok kebun, bilah sembelih, bilah lapah, golok tulang dan kapak yang ditempah pelanggan dari seluruh negara termasuk negara jiran Brunei dan Indonesia.

Katanya, banjir besar yang melanda daerah Hulu Terengganu pada hujung Februari lalu meninggalkan kesan kepada perusahaan pisau yang diusahakannya sejak lebih tiga tahun lalu.

“Akibat banjir, perusahaan membuat pisau terjejas teruk dan saya hanya memulakan kerja membuat pisau sejak awal bulan ini selepas kerja-kerja menaik taraf dan membaiki alatan pertukangan yang rosak dilakukan.

“Saya bersyukur kerana perayaan Aidiladha inui membuka limpahan rezeki,” katanya memaklumkan pisau tempahan pelanggan akan dipos kerana kebanyakan pembeli dari luar Terengganu.

 

Kredit : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *