JKNT keluarkan 1,781 notis kesalahan larangan merokok

Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan sebanyak 1,781 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM440,200 sejak Januari tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ia adalah peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 943 notis kesalahan dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM243,550.

Beliau berkata, peningkatan itu susulan kekerapan aktiviti penguatkuasaan yang diadakan tahun ini memandangkan kedai makan dan restoran sudah dibenarkan beroperasi seperti biasa setelah negara memasuki peralihan ke fasa endemik.

“Berbanding tahun lalu, operasi kedai makan dan restoran agak terhad. Kita juga terima banyak aduan daripada orang awam mengenai individu yang masih tidak menghiraukan larangan merokok di kedai makan.

“Kesalahan ini dikesan hasil aktiviti penguatkuasaan terhadap 27,715 premis kawasan larangan merokok di seluruh Terengganu yang dijalankan setakat ini. Kita akan terus memperhebatkan penguatkuasaan untuk melindungi golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap dan wap produk rokok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau aktiviti penguatkuasaan ‘Op Gomo Asap Malam’ di sini, malam tadi.

Seramai 55 anggota digerakkan ke tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang dengan lebih 75 premis diperiksa sepanjang operasi itu.

Antara notis kesalahan yang dikeluarkan ialah merokok di kawasan larangan, gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis dan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, notis kesalahan tertinggi dikeluarkan ialah di tempat makan atau premis berpenyaman udara iaitu 775, Taman Rekreasi Batu Buruk (364), kompleks beli belah (108), bangunan atau tempat permainan kanak-kanak (75) dan premis kerajaan (41).

 

Kredit : Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *