Dilarang guna telefon, empat remaja lari dari rumah anak yatim

Kuantan: Polis melancarkan operasi mencari empat remaja lelaki, termasuk tiga beradik yang melarikan diri dari rumah anak yatim, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, usaha mengesan lokasi remaja berusia antara 13 dan 15 tahun itu dilakukan selepas menerima laporan kehilangan mereka.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kehilangan empat remaja terbabit disedari apabila penyelia asrama berusia 35 tahun dimaklumkan penghuni asrama lain pada 12.30 tengah malam.

“Empat remaja yang juga pelajar ini dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang asrama. Usaha mencari dilakukan di kawasan berkenaan namun gagal menemui mereka sebelum penyelia asrama itu membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, empat remaja yang melarikan diri berasal dari kampung dan daerah yang sama di negeri ini.

Katanya, siasatan mendapati empat remaja lelaki itu sudah menetap di rumah anak yatim itu bagi tempoh antara satu dan dua tahun.

“Punca mereka melarikan diri disyaki kerana tidak berpuas hati dengan penyelia yang melarang menggunakan telefon.

“Setakat ini, kes ini diklasifikasikan sebagai orang hilang,” katanya.

Kredit : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *