Kota Bharu: Sepanjang 36 tahun bekerja, seorang penjawat awam tidak pernah mengambil cuti sakit kerana komitmen dan tanggungjawab kepada tugas.
Pengarah Khidmat Pengurusan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Mohd Fakri Mohamad Noor, 59, berkata, walaupun sakit termasuk demam, dia tetap tidak mengambil cuti sakit walaupun ditawarkan oleh pegawai perubatan yang merawatnya.
“Sebaik bermula kerja pada 1986, saya bertekad mahu bekerja bersungguh-sungguh dan memberi komitmen sepenuhnya serta tidak mahu mengambil cuti sakit.
“Saya bersyukur kerana terpilih menerima APC dan sudah beberapa kali dinaikkan pangkat walaupun pada awalnya saya bermula dengan Gred 17,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat LKTN di sini, semalam.
Terdahulu, seramai 24 kakitangan LKTN termasuk pegawai menerima APC 2021 yang disampaikan oleh Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir.
Bapa kepada enam anak itu berkata, dia bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik hingga membolehkannya menjalankan tugas yang diberi dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, dia juga bernasib baik kerana isteri, Nur Shelyzawati Hassan, 42, yang juga kakitangan LKTN sentiasa memberi sokongan untuknya terus maju dalam kerjaya dan pada masa yang sama banyak berkorban untuk menjaga anak-anak jika mereka sakit.
“Jika saya atau anak-anak sakit, saya akan mengambil cuti rehat tahunan yang diberi. Saya mahu menjadi contoh yang baik kepada rakan sekerja.
“Ikhlas dalam bekerja juga dapat memastikan seseorang itu dapat meneruskan memikul tanggungjawab dengan baik dan sempurna,” katanya.
Kredit : Harian Metro