Teruja kali kedua dikunjungi pasangan diraja

Tumpat: “Memang rasa teruja sangat-sangat kerana ini kali kedua Tengku Mahkota dan isteri mencemar duli datang ke rumah untuk menjenguk anak kembar saya selepas dua tahun lalu,” kata Syazwan Najmi Zulkarni, bapa kepada bayi kembar perempuan yang kematian ibu akibat komplikasi selepas bersalin.

Syazwan Najmi, 25, berkata, tiga hari lalu, dia dimaklumkan wakil istana bahawa pasangan diraja, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson ingin menziarah anak kembarnya, Medina Safiya dan Medina Sofiya yang kini berusia dua tahun di kediaman mereka di Kampung Pak Keral, di sini.

Bapa tunggal itu berkata, walau persiapan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, mereka sekeluarga sangat teruja dan berbesar hati menerima kunjungan pasangan diraja pada 3 petang semalam.

“Sebaik pasangan diraja itu tiba, Cik Puan Sofie terus mendekati anak kembar saya yang sedang tidur sambil berkata cute baby sambil mencuit mereka.

“Saya diberitahu oleh Tengku Mahkota bahawa isteri baginda meluahkan rasa rindu dan ingin menjenguk anak kembar saya malah Cik Puan Sofie nampak teruja dan tidak kekok melayan seorang daripada anak saya, Medina Sofiya yang tersedar dari tidur.

“Baginda berdua meluangkan masa kira-kira setengah jam dan Tengku Mahkota juga bertanyakan perkembangan kami serta menasihatkan saya supaya menjaga dua amanah ini dengan baik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini memaparkan kisah pilu yang menimpa isteri Syazwan Najmi, Siti Nur Nasuha Shafie, 25, yang meninggal dunia pada 14 April 2020 selepas dua minggu bertarung nyawa akibat komplikasi selepas bersalin.

Wanita itu yang melahirkan bayi kembar perempuan pada 31 Mac 2020 tidak sempat menatap kedua cahaya mata sulung kerana dia berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika itu.

 

Kredit : Harian Metro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *