Istimewa keli air gunung

Jerteh: Lokasi ladang sawit yang terletak hanya 4.5 kilometer dari kawasan gunung, mencetuskan idea seorang peneroka di Felda Selasih di sini untuk mengusahakan ternakan keli menggunakan air dari tanah tinggi sebagai sumber aliran ke sangkar ikannya.

Mukhtar Ismail, 64, berkata penggunaan air gunung itu ternyata sangat istimewa kerana maklum balas daripada pelanggan mengatakan rasa ikan kelinya lebih pejal dan manis, malah ia tidak berbau hanyir seperti keli yang diternak di kolam biasa.

Menurut beliau lazimnya, peneroka di Felda menjadikan ladang sawit mereka sebagai lokasi menternak haiwan seperti lembu dan kambing untuk menjana pendapatan tambahan namun beliau memilih untuk menternak keli kerana ia mudah dijaga, tahan lasak dan sentiasa mendapat permintaan tinggi.

“Air gunung sangat sesuai untuk ikan keli kerana ia lebih bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran. Saluran air ini disediakan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kerana ada juga kebun sayur berdekatan yang guna air gunung untuk tanaman,” katanya.

Bapa kepada sembilan anak itu memiliki lebih 11,000 ekor keli yang diternak dalam satu masa dan setiap tahun, Mukhtar mampu menuai keli dewasa sebanyak tiga atau empat kali bergantung kepada faktor bekalan benih keli dan cuaca.

Menurutnya, ikan keli segar dijual pada harga RM7 sekilogram manakala RM8 dikenakan untuk yang ikan siap disiang dan dijual secara borong kepada pengusaha restoran dan kedai makan di sekitar daerah itu dan daripada perusahaannya, beliau mampu meraih pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Bagi menjaga kualiti ikan keli yang diternak, Mukhtar berkata, beliau menggunakan perut ayam atau lembu yang direbus untuk makanan ikan ternakannya dan bukan dedak biasa dijual di pasaran.

“Ini juga antara faktor membezakan kualiti rasanya berbanding keli lain, memang agak penat dan leceh kerana proses merebus perut ayam dan lembu perlukan masa agak lama, namun semua itu hilang selepas pelanggan beritahu mereka sangat berselera menikmati keli yang dibeli,” katanya.

Keunikan sangkar ikan menggunakan sepenuhnya air gunung berkenaan turut menarik perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim yang melawat ladang itu baru-baru ini, dan memberi persetujuan awal untuk menyalurkan bantuan sesuai dari semasa ke semasa.

“Terima kasih kepada pelbagai agensi kerajaan yang sentiasa turun padang dan memberi bantuan seperti makanan ikan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan kos,” katanya yang mengakui sering berhadapan dengan serangan haiwan seperti memerang dan burung hantu termasuk kes kecurian ikan ternakannya.

 

Kredit : Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *