Hujan lebat 3 jam antara faktor banjir kilat di Janda Baik

Kuantan: Hujan lebat di kawasan hulu sehingga mengakibatkan limpahan air sungai antara faktor utama banjir kilat di Janda Baik, Bentong, semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, faktor lain pula susulan daripada keadaan sungai yang cetek disebabkan banjir besar pada 17 Disember 2021.

Katanya, cerapan data stesen hujan di Kampung Janda Baik menunjukkan bahawa taburan hujan di kawasan itu ialah sebanyak 19.5 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam berkenaan.

“Kadar hujan 19.5 mm dalam tempoh tiga jam ini dikategorikan sangat lebat kerana taburan normal hujan adalah di bawah 10 mm,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebagai langkah awal katanya, sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain seperti selimut, tuala dan air mineral yang diselaraskan oleh kerajaan negeri diagihkan kepada mangsa.

“Saya sudah minta pek makanan dan bantuan ini ditambah dari semasa ke semasa dengan kadar segera.

“Bagi membantu kerja-kerja pascabanjir termasuk pembersihan rumah, Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) khususnya dari Bentong akan melakukan gerak kerja secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, kerajaan negeri dan agensi yang terbabit sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.

Pada kejadian 5.30 pagi itu, 42 keluarga terpaksa berpindah ke kawasan selamat selepas dilanda banjir kilat membabitkan beberapa kampung sekitar Janda Baik.

Antara kampung terjejas teruk termasuklah Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh.

 

Kredit : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *