HFMD ‘serang’ Kelantan?

KOTA BHARU: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ‘menyerang’ kanak-kanak di negeri ini apabila bilangan kes jangkitan meningkat 553 peratus bagi empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin yang berkata, bagi minggu epid 18 tahun ini, sebanyak 1,548 kes HFMD dilaporkan di seluruh negeri.

Menurutnya, bagi tempoh sama tahun lepas, hanya 237 kes dilaporkan di seluruh negeri.

“Daripada 1,548 kes itu, majoriti yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 75.8 peratus.

“Secara keseluruhan, sebanyak 87.9 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Dr. Zaini memberitahu, sebahagian wabak yang dilaporkan itu melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Katanya, JKNK menasihatkan pemilik premis supaya sentiasa melakukan sanitasi terutama pada permukaan dan barangan yang kerap disentuh seperti troli, tombol pintu dan alat permainan.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai terutama yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak tersebut.

“Jika terdapat sebarang kemusykilan dan pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan berhampiran,” ujarnya.

 

Kredit : Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *