Kes HFMD di Terengganu meningkat 723 peratus

Kuala Berang: Sebanyak 782 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Terengganu dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 723.2 peratus berbanding hanya 95 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua kes berkenaan membabitkan 19 wabak HFMD yang berlaku di lima daerah iaitu di Kuala Terengganu (lima), Setiu (lima), Hulu Terengganu (tiga), Besut (dua), Marang (tiga) dan Kemaman (satu).

Katanya, kebanyakan kes HFMD dilaporkan berlaku di taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) dengan majoriti yang dijangkiti wabak ini berusia enam tahun dan ke bawah.

“Setakat ini, tiada taska atau tadika ditutup di Terengganu dan keadaanjuga masih terkawal dengan mereka yang dijangkiti wabak HFMD tidak boleh hadir ke taska atau tadika.

“Mereka yang tidak mengalami wabak berkenaan boleh meneruskan persekolahan seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Dewan Besar.

Dr Kasemani berkata, pihaknya akan terus memantau dan mempromosi maklumat, nasihat serta langkah penjagaan bagi membendung penularan penyakit berkenaan.

“Apabila kita melihat kejadian kes yang tinggi ini dengan hasil siasatan yang kita lakukan, kita merasakan masih ada banyak perkara yang perlu diperkukuhkan.

“Mungkin sebab sudah lama kita tidak bercakap mengenai HFMD, jadi masing-masing macam agak leka dan kita mohon kerjasama daripada dua pihak iaitu taska atau taska sertaibu bapa bagi mengelak penularan wabak ini.

“Ibu bapa kena faham kalau anak-anak mereka tidak sihat dan bergejala, jangan hantar ke taska atau tadika manakala di pihak taska atau tadika pula, mereka tidak boleh menerima kanak-kanak yang ada gejala.

“Selain itu, kita kena amalkan amalan sanitasi sebelum memulakan kelas dan selepas tamat sesi kelas setiap hari bagi memastikan virus ini tidak berada dalam persekitaran taska atau tadika,” katanya.

Kredit : Harian Metro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *