Keikhlasan Ismail Sabri Terserlah

SEPERTIMANA diketahui, antara langkah terawal Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menjawat jawatan itu pada 20 Ogos 2021 adalah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September. Tidak seperti didakwa oleh sesetengah pihak, pemeteraian MoU ini bukanlah bermatlamatkan menjaga kedudukan Ismail Sabri dan kerajaannya daripada digugat, sebaliknya mempunyai tujuan murni selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Sebab itulah tercatat dalam mukadimah MoU ini titah nasihat Duli-Duli Yang Maha Mulia mengenai perlunya satu pendekatan baharu kerjasama dwipartisan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Coid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Kini, setelah lebih empat bulan MoU ini dimeterai, penularan wabak Covid-19 terkawal, pemulihan ekonomi tergambar serta pewujudan landskap politik baharu yang melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan semakin terhasil.

Kesemua perkembangan positif ini adalah manifestasi kepada keikhlasan dan kesungguhan Ismail Sabri untuk mengotakan apa yang dijanjikan kepada Pakatan Harapan (PH) melalui MoU ini demi memastikan wabak Covid-19 dibendung dan pemulihan ekonomi negara berjalan lancar.

Memudahkan lagi pelaksanaan kesemua butiran MoU ini kerana Ismail Sabri mempunyai seorang ahli Parlimen yang benar-benar komited, iaitu Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang). Wan Junaidi, ketika ditemui di pejabatnya, kelmarin menyatakan, pujian harus diberikan kepada Ismail Sabri kerana sentiasa menanyakan beliau mengenai perkembangan pelaksanaan kesemua butiran MoU ini, termasuk paling terbaharu pada 14 Januari lalu.

Keikhlasan dan kesungguhan Ismail Sabri untuk merealisasikan kesemua butiran MoU ini juga terlihat dalam penubuhan Jawatankuasa Pemandu yang bertindak sebagai perunding, pemudah cara dan perwakilan sah bagi kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan PH.

Jawatankuasa Pemandu ini bermesyuarat dari semasa ke semasa untuk memantau perkembangan pelaksanaan kesemua butiran MoU ibermula daripada mesyuarat pertama pada 27 September 2021 hingga mesyuarat terakhir pada 19 Januari lalu. Paling menarik, bila seorang wakil PH dalam Jawatankuasa Pemandu, Ahmad Fahmi menulis: “Setakat 19 Januari 2022, 13 daripada 18 perkara yang terkandung dalam MoU telah dilaksana. Ini bererti 72.2 peratus daripada kesemua perkara telah dilaksana.”

Secara lebih spesifik, MoU ini mengandungi 18 butiran, iaitu tujuh membabitkan Pemerkasaan Pelan Covid-19, enam Pembaharuan Parlimen, tiga Transformasi Pentadbiran serta masing-masing satu Perjanjian Malaysia (MA63) dan Kebebasan Institusi Kehakiman.

Seperti mana dijelaskan oleh Ahmad Fahmi dan disahkan oleh Wan Junaidi, kesemua tujuh butiran Pemerkasaan Pelan Covid-19, empat Pembaharuan Parlimen, satu Transformasi Pentadbiran dan satu MA63 yang terkandung dalam MoU ini berjaya direalisasikan.

Baki lima daripada keseluruhan 18 butiran MoU yang belum berjaya direalisasikan ialah Pembaharuan Parlimen (2), Transformasi Pentadbiran (2) dan Kebebasan Institusi Kehakiman.

Dua butiran Pembaharuan Parlimen tersebut ialah mem­ben­tangkan dan meluluskan Undang-undang berkaitan Perkhidmatan Parlimen.

KEBEBASAN

Menurut Wan Junaidi, pelaksanaan kedua-dua perkara ini memerlukan rundingan dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan. Walaupun prosesnya akan memakan masa tetapi masih dalam jangka waktu ditetapkan kerana ia dijan­jikan untuk dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat daripada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen (2022) manakala impaknya adalah besar.

“Setelah Undang-undang berkaitan Perkhidmatan Parlimen diluluskan, Parlimen akan mempunyai kebebasan kerana urusan-urusan seperti pengambilan serta penentuan gaji dan pencen pegawai Parlimen akan dibuat oleh satu suruhanjaya tersendiri.

“Selepas undang-undang ini diluluskan, menteri tidak akan lagi boleh mengawal urusan di Parlimen, sebaliknya hanyalah mengawal urusan kerajaan di Parlimen seperti bila rang undang-undang kerajaan naik,” kata Wan Junaidi.

Butiran membabitkan Kebebasan Institusi Kehakiman pula adalah satu perkara terbuka yang tidak menjanjikan apa-apa transformasi spesifik.

Paling penting, dua butiran membabitkan Transformasi Pentadbiran, iaitu pemben­tangan dan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan RUU Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun.

Mengikut Wan Junaidi, mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pemandu pada 19 Januari lalu bersetuju kedua-dua RUU ini dibentangkan mengikut jangka waktu ditetapkan, iaitu dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen (2022) yang akan bermula 28 Februari ini.

“Jawatankuasa Pemandu juga bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa teknikal yang dianggotai oleh empat wakil kerajaan dan empat wakil PH yang akan bertemu pada 25 Januari ini untuk memperincikan perkara dasar dan kerangka perundangan yang dicadangkan,” tegas Wan Junaidi.

Begitulah tingginya komitmen Ismail Sabri dan Wan Junaidi dalam menunaikan janji.

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

Kredit: Kamarul Zaman Yusoff

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *