Saksi Kes Belasah Pemandu Teksi Diminta Tampil

MARANG – Polis memohon orang ramai yang menyaksi atau mempunyai maklumat berhubung kes seorang pemandu teksi dibelasah di Jalan Bukit Kor di sini pada kelmarin agar tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris berkata, siasatan itu berikutan penyebaran video berdurasi 13 saat yang menunjukkan mangsa telah dipukul oleh beberapa orang lain dalam kejadian pukul 6.15 petang tersebut.

“Pemandu teksi berkenaan dituduh mabuk sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan lalu mencetuskan kemalangan.

“Siasatan awal mendapati dia yang mempunyai penyakit diabetes sebenarnya tiba-tiba mengalami hypoglycemia iaitu masalah kekurangan gula dalam badan sewaktu kejadian,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, masalah kesihatan tersebut dikatakan menjadi punca pemandu teksi itu gagal mengawal kenderaannya hingga disebabkan kemalangan itu.

Sehubungan itu, beliau kesal tindakan segelintir pihak yang bertindak terburu-buru tanpa usul periksa sehingga membelakangi undang-undang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Saya harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

“Sebaiknya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di talian 09-6182222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Kredit: Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *