Merapatkan Jurang Wilayah

DALAM tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), memperlihat bahawa semua negeri di Malaysia telah mencatat pertumbuhan ekonomi dan peningkatan dalam pendapatan isi rumah bulanan purata yang semakin baik. Ini menunjukkan bahawa kualiti hidup di kawasan luar bandar dan bandar telah meningkat dan semakin memuaskan.

Walau bagaimanapun, dari segi keseimbangan antara wilayah, tidak banyak kemajuan dicapai dalam mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah, negeri serta kawasan luar bandar dengan bandar.

Ini kerana masih terdapat negeri-negeri tertentu dalam keadaan mundur dan tidak maju. Wilayah Pantai Timur dengan Pantai Barat menunjukkan ketidak seimbangan yang agak ketara dan begitu juga dengan wilayah Sabah dan Sarawak.

Pembangunan wilayah yang seimbang menjadi salah satu subjek utama pembangunan negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-6. Pelbagai langkah diambil bagi mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar dengan bandar.

Sehubungan dengan itu, pembangunan merentasi sempadan antara negeri diberi penekanan manakala pembangunan di pusat pertumbuhan sedia ada tetap dipergiatkan lagi.

Walau bagaimanapun, penekanan turut diberikan kepada pembangunan pusat pertumbuhan luar bandar dan bandar dengan menjana aktiviti yang menghasilkan pendapatan dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, pembangunan koridor bermaksud bentuk  pembangunan berjajar di sepanjang jalan utama pada skala yang besar dalam jarak lima kilometer dari kiri dan kanan jalan.

Lazimnya, bentuk pembangunan ini terdapat di kawasan yang menghubungkan dua bandar utama dalam satu wilayah. Wilayah terbentuk daripada gabungan beberapa buah bandar.

Pemangkin pula bermaksud faktor persekitaran yang mempercepat sesuatu tindakan atau perubahan. Wilayah yang digariskan dalam RMK-9 merujuk kepada Koridor Wilayah Ekonomi Negara yang meliputi kawasan yang lebih luas dan merangkumi beberapa buah negeri.

Di bawah RMK-9 (2006-2010), lima pembangunan wilayah koridor telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Wilayah yang terbabit ialah:  

  • Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)
  • Iskandar Malaysia
  • Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER)
  • Koridor Pembangunan Sabah (SDC)
  • Koridor Tenaga diperbaharui Sarawak (SCORE)

Walaupun Malaysia telah banyak menikmati kemajuan pesat dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, pembangunan, sosial dan sebagainya namun kemajuan ini masih tidak cukup untuk menyaingi kemajuan negara-negara lain.

Oleh yang demikian, kerajaan sedar bahawa negara perlu memastikan kemajuan yang dilakukan dapat diagih dan dirasai oleh lebih ramai penduduk disetiap pelusuk negara.

Konsep Koridor Malaysia ini adalah berdasarkan kesedaran bahawa pembangunan akan terlaksana dengan lebih teratur dan pantas jika potensi setiap negeri digembling bersama.

Ini kerana setiap negeri mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri dan bukan untuk menyaingi antara satu sama lain. Maka dengan ini, sudah tiba masanya untuk mentransformasikan kawasan luar bandar kepada ekonomi desa yang moden dan dinamik serta melihat industri-industri baru muncul.

Keadaan ini perlu dikukuhkan supaya dapat menghapuskan kemunduran, meningkatkan pendidikan serta kemajuan dikejar bersama. Ini adalah bertujuan untuk menjulang martabat Malaysia sebagai sebuah negara yang maju pada masa akan datang.

Untuk merealisasikan matlamat ini, setiap individu perlu membenarkan perubahan minda mengenai potensi negeri-negeri dan daerah-daerah di seluruh negara yang terlibat dengan projek koridor ini.

Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri yang diterajui oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed berperanan untuk memastikan pihak berkuasa wilayah berjalan dengan sempurna. – Utusan Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *