Tok Pa, EPU Dan RMK-12

DATUK Seri Mustapa Mohamed amat sinonim dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ini kerana dalam tempoh sembilan tahun menerajui MITI banyak perkara yang dilaksanakan.

Malah pernah mencatat rekod membawa masuk pelaburan paling banyak dalam sejarah.

Pada tahun Mac 2020, di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mustapa yang sinonim dengan panggilan Tok Pa diberikan peranan baru, portfolio ekonomi.

Ini merupakan kali kedua Tok Pa menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi). Kali Pertama pada tahun 2004 sehingga 2006. Beliau bertanggungjawab untuk menggubal pelan sosioekonomi jangka sederhana negara kali ke-10 atau Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ramai yang keliru dengan portfolio Tok Pa yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukannya seperti Datuk Seri Azmin Ali yang menerajui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Punca kuasa Tok Pa tidak sebesar dengan Azmin semasa menerajui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Ahli Parlimen Jeli ini hanya menerajui satu unit di bawah JPM dan membantu Perdana Menteri untuk menguruskan soal harian FELDA, Petronas dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Ketiga-tiga mempunyai fungsi dan peranan yang amat besar dalam membantu Kerajaan dan rakyat.

Tugas utama di Unit Perancang Ekonomi (EPU) adalah membuat perancangan untuk dilaksanakan oleh Kementerian dan agensi terlibat.

Di antara dasar yang telah dilancarkan ialah MyDigital dan RMK-12 serta merancang projek pembangunan pada setiap tahun.

RMK-12 bermula tahun 2021 sehingga 2025. Ia dirangka dalam suasana yang amat mencabar. Seluruh dunia dilanda krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang terburuk dalam sejarah. COVID-19. Dalam masa sama dilanda krisis politik.

Namun di sebalik setiap krisis akan hadir peluang. Krisis ini memberi peluang kepada kita untuk menyusun kembali struktur ekonomi.

RMK-12 memberikan penekanan pendigitalan dan industri berdaya maju ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi.

Difahamkan, Tok Pa dan pasukannya di EPU meneliti setiap patah perkataan dan baris ayat dalam dokumen setebal lebih 500 muka surat itu agar ia benar-benar mencakupi semua aspek.

Lebih 300 sesi libat urus dibuat. Pendekatan dari bawah ke atas. Bukan seperti lazimnya dari atas ke bawah. Maka disebabkan itu tidak ada banyak yang bising-bising mengenai perancangan ini. Tok Pa amat teliti.

Sekarang bagi memastikan setiap perancangan terlaksana, pemantauan khusus dibuat. Buat pertama kali dalam sejarah Perdana Menteri sendiri mempengerusikan Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12. Ia disokong oleh Jawatankuasa Teknikal oleh Tok Pa.

Manakala Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah EPU.

Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 dianggotai oleh semua Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian. Bermesyuarat tiga bulan sekali memantau perkembangan pelaksanaan perancangan yang dibuat.

Harus diingat EPU hanya menyediakan dasar manakala pelaksanaan dibuat oleh setiap kementerian yang terlibat.

Setiap projek pembangunan dipantau dengan teliti. Ini bukan ‘kaling-kaling’. Pelaksanaan projek pembangunan amat penting untuk negara. Kesan penggandanya amat besar.

Justeru, tidak timbul isu RMK-12 hanya tinggal rancangan. RMK-12 perlu menjadi kenyataan demi masa depan negara. – Utusan Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *