FELDA Kembali Gemilang

FELDA adalah nama besar. Mendapat pengiktirafan Bank Dunia kerana kejayaannya membangunkan tanah. Lebih 2 juta rakyat mendapat manfaat.

Namun agensi ini menghadapi masalah yang serius selepas FELDA Global Venture (FGV) disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012.

FELDA dan FGV berjaya mengumpul dana hampir RM13 bilion tetapi kini terpaksa menanggung hutang yang besar dan nilai aset yang semakin yang semakin menyusut.

Selepas Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Kerajaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed bekerja keras untuk memulihkan kembali FELDA.

Agensi ini disusun semula. Datuk Seri Idris Jusoh dibawa masuk sebagai Pengerusi FELDA. Idris mempunyai pengalaman yang luas. Dalam masa yang Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas untuk melihat secara mendalam masalah yang dialami oleh FELDA.

Gandingan Tok Pa (Mustapa), Tok Yeh (Idris) dan Tan AWO (Abdul Wahid) sangat mantap. Mereka menyusun pengurusan FELDA dan langkah pertama membawa Datuk Amirudin Abdul Satar bekas CEO Johor Corporation sebagai Pengarah Besar FELDA.

Langkah kedua, Tok Pa memainkan peranan membawa kertas ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan sukuk berjaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion pada Oktober 2020.

Jemaah Menteri memberikan kelulusan untuk menerbitkan sukuk yang memberikan ruang FELDA untuk menyusun kembali hutang.

Pelan Pemulihan FELDA melibatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memastikan agensi ini dapat beroperasi secara mandiri dan mampan (financial independence and sustainable) serta memperkasa taraf sosioekonomi warganya.

Inisiatif pengambilalihan FGV Holdings Berhad serta pengurangan tanggungan pinjaman akan membolehkan FELDA beroperasi tanpa membebankan Kerajaan.

Apalah FELDA tanpa dokongan dan sokongan peneroka sejak berpuluh tahun lalu. Pada Julai November 2021, Kerajaan telah bersetuju menghapuskan sebahagian besar hutang peneroka yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.3 bilion.

Ini merupakan satu keputusan besar untuk menyelesaikan masalah hutang peneroka yang telah berlarutan sejak 20 tahun yang lepas.

Keputusan ini juga merupakan langkah memulakan semula atau memudah cara proses penjanaan semula atau ‘restart’ FELDA dan  mengembalikan kegemilangannya kepada kedudukannya sebagai sebuah syarikat perladangan terulung dunia.

Sementara itu, ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, FELDA telah menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan peneroka daripada ladang kepada sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan pada tahun 2023 secara konsisten walaupun harga komoditi terjejas.

Sasaran ini dicapai melalui inisiatif ‘Ladang Lestari 2523’ yang mensasarkan produktiviti pengeluaran buah tandan segar sebanyak 25 tan/hektar/tahun serta kadar perahan minyak (OER) 23%.

Peningkatan produktiviti pengeluaran adalah hasil daripada penerapan teknologi pertanian moden seperti Sistem Pengurusan Perladangan Pintar (SPMS), penggunaan baka biji benih sawit baharu ‘Yangambi 3-way’ yang lebih produktif dan penggunaan baja pintar.

Selain itu, peningkatan pendapatan peneroka juga turut disumbang daripada inisiatif penghapusan sebahagian pinjaman peneroka dan juga program menjana pendapatan tambahan kepada peneroka melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP). Sehingga kini, hampir 7,000 projek PPP telah diluluskan yang memberi manfaat kepada kira-kira 53 ribu orang peneroka.

Usaha pemerkasaan modal insan dan komuniti FELDA juga diberi tumpuan dengan matlamat menjadikan kawasan FELDA sebagai role model transformasi komuniti luar bandar yang moden dan progresif.

Lebih 40 ribu pelajar sekolah di kawasan FELDA telah diberi pendedahan pembelajaran secara digital berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk program robotic dan coding.

Anak-anak muda FELDA juga diberi latihan mengenai drone melalui kerjasama dengan syarikat Aerodyne Group bagi merangsang penggunaan teknologi dan inovasi dalam amalan pengurusan ladang.

Kerajaan mahu pastikan mereka menguasai teknologi dan pertanian pintar agar lebih berdaya saing di masa depan bukan lagi mengusahkan ladang atau pertanian secara konvensional.

Ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

FELDA mempunyai potensi yang amat besar. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan perhatian yang serius dan mahu FELDA kembali gemilang.

Insya Allah dengan gandingan mantap semua pihak, FELDA akan kembali cemerlang dan mencapai sasaran syarikat Fortune 500 pada tahun 2040. – Utusan Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *