Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi

UNIT Perancang Ekonomi berperanan penting dalam menentu arah kemajuan dan pembangunan masa hadapan ekonomi dan rakyat Malaysia.

EPU di bawah portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, bertanggungjawab dalam menggubal pertumbuhan Malaysia untuk jangka pendek dan panjang melalui Rancangan Malaysia (RM).

Tanggungjawab yang dipikul oleh Mustapa bagi menjayakan mandat diberikan oleh kerajaan dan harapan rakyat, bukanlah mudah.

Ikuti perkongsian beliau selepas 100 hari menerajui portfolio berkenaan dalam satu temu bual, baru-baru ini.

UTUSAN TIMUR: Tahniah YB Dato’ Sri kerana berjaya mencapai kejayaan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Apakah pandangan Dato’ Sri mengenai KPI 100 hari?

DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED: Terima kasih atas ucapan tersebut. Sebahagian besar rakyat Malaysia bersyukur atas kejayaan para Menteri Kabinet kerana berjaya mencapai prestasi 90% KPI yang ditetapkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bagi 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Penilaian ini dibuat berdasarkan strategi-strategi Kerajaan dalam melindungi rakyat Malaysia dari pandemik Covid-19 dan proses pemulihan ekonomi negara.

100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia merupakan satu inisiatif yang amat penting yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri. Kad laporan 100 hari telah memastikan kami semua Menteri Kabinet sentiasa bersedia, untuk memastikan kami melakukan tugas yang baik dalam membantu rakyat dalam tempoh yang sangat sukar ini.

UTUSAN TIMUR: Bolehkah YB Dato’ Sri berkongsi kejayaan dan keseluruhan prestasi sepanjang 100 Hari tersebut?

DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED: Daripada pelbagai inisiatif dasar yang dipimpin oleh saya di Unit Perancang Ekonomi (EPU), yang paling penting bagi saya ialah penggubalan strategi baharu untuk membasmi kemiskinan tegar.

Kami akan melaksanakan pendekatan yang lebih berkesan dan holistik untuk membasmi kemiskinan tegar. Untuk menjamin pelaksanaan yang lebih berfokus, unit kemiskinan yang khusus dicadang ditubuhkan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah. Unit Kemiskinan telahpun ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Beberapa buah negeri juga telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat negeri dan daerah.

Enam bulan lalu, saya telah menubuhkan Poverty Circle yang merupakan kumpulan perbincangan meja bulat antara Kerajaan, Organisasi Masyarakat Sivil (CSO), Badan Korporat, Ahli Akademik dan Individu Terkemuka untuk berkongsi pendekatan terbaik dalam menangani kemiskinan. Ini adalah selari dengan pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach yang melibatkan peranan sektor swasta dan CSO sebagai rakan pembangunan kepada Kerajaan.

Setakat ini, enam sesi Poverty Circle telah dijalankan. Matlamatnya adalah untuk menukar semua input yang diperoleh daripada Poverty Circle kepada dasar kemiskinan negara.

Selain pendekatan yang lebih holistik untuk membasmi kemiskinan tegar, pencapaian 100 Hari saya juga termasuk pelaksanaan Pelan Pemulihan FELDA dan memuktamadkan mekanisme pemantauan untuk memastikan sasaran RMK12 tercapai.

Sudah tentu, ini hanyalah permulaan. Mustahil untuk melakukan semuanya dalam 100 hari. Kami akan terus bekerja keras untuk mencapai KPI jangka sederhana panjang demi memastikan pemulihan ekonomi yang lebih kukuh dan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

UTUSAN TIMUR: Salah satu daripada 3 Aspirasi Keluarga Malaysia ialah Pelan Pelaksanaan RMKe-12. Boleh YB Dato’ Sri huraikan sedikit?

DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED: RMKe-12 telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2021 serta telah diluluskan pada 6 Oktober 2021 yang lalu.

RMKe-12 yang disediakan dengan matlamat “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan” merupakan separuh pertama WKB 2030 yang amat penting bagi mengharungi cabaran semasa dalam konteks global dan domestik. Ia akan memulih dan melonjakkan ekonomi negara dan memantapkan semula peranan Malaysia dalam ekonomi dunia.

Atas kepentingan ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Oktober 2021 telah bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Pemantauan RMKe-12 ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan RMKe-12 bagi memastikan outcome yang ditetapkan dapat dicapai dan keperluan sosioekonomi Keluarga Malaysia turut dapat dipenuhi.

Struktur tadbir urus Jawatankuasa Khas ini merangkumi Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan disokong oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah EPU.

Saya telah mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Teknikal Pemantauan RMKe-12 pada 24 November 2021. Manakala Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri kali pertama telah diadakan pada 6 Disember 2021.

UTUSAN TIMUR: Sejak Mac 2018 sehingga hari ini kita dapat melihat dengan jelas tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan FELDA.  Apakah pencapaian terkini dalam tempoh masa 100 hari?

DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED: Di antara Langkah utama yang diambil oleh Kerajaan pada tahun ini ialah meluluskan  penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion bagi mengukuhkan aliran tunai FELDA. Pada November 2021 Kerajaan juga telah menghapuskan sebahagian besar hutang peneroka yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.2 bilion.

Pelan Pemulihan FELDA melibatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memastikan agensi ini dapat beroperasi secara mandiri dan mampan (financial independence and sustainable) serta memperkasa taraf sosioekonomi warganya. Inisiatif pengambilalihan FGV Holdings Berhad serta pengurangan tanggungan pinjaman akan membolehkan FELDA beroperasi tanpa membebankan Kerajaan.

Sementara itu, ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, FELDA telah menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan peneroka kepada sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan pada tahun 2023. Antara usaha ke arah mencapai sasaran tersebut seperti penghapusan sebahagian pinjaman peneroka dan juga program menjana pendapatan tambahan kepada peneroka melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP). – Utusan Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *