Miskin Tegar Sifar 2025

USAHA menangani kemiskinan dan pembangunan inklusif kekal menjadi tonggak penting dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia.

Sejak Rancangan Malaysia Kedua (RMKe-2), mengurangkan kemiskinan tegar dan meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia tanpa mengira jantina, etnik, status ekonomi dan lokasi menjadi salah satu keutamaan dalam perancangan pembangunan negara selaras dengan Dasar Ekonomi Baru serta dasar-dasar semasa Kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed meneruskan usaha ini dengan mengambil langkah proaktif untuk memastikan masalah kemiskinan tegar dapat dihapuskan pada 2025. Langkah ini menerusi pendekatan holistik membabitkan Kerajaan, CSO, Badan Korporat, Ahli Akademik dan Individu Terkemuka untuk berkongsi idea dan pandangan dalam mencari jalan terbaik menghapuskan kemiskinan tegar.

Secara umumnya, Malaysia telah mencapai kejayaan yang besar dalam usaha pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf kehidupan rakyat.

Ini dapat dilihat daripada penurunan kadar kemiskinan mutlak di peringkat nasional iaitu 49.3 peratus daripada keseluruhan isi rumah pada tahun 1970 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019. Namun, masih wujud kelompok kemiskinan di lokaliti bandar dan luar bandar.

Kadar kemiskinan tegar pula telah berjaya diturunkan hampir sifar iaitu 0.4 peratus pada tahun 2019.

Miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah RM1,169 sebulan berdasarkan kos pembelian makanan bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga.

Miskin mutlak merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,208 sebulan berdasarkan kos pembelian makanan dan barangan asas bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga.

Kadar kemiskinan mutlak Bumiputera adalah 7.2 peratus manakala bagi masyarakat Orang Asli adalah 33.6 peratus. Kadar kemiskinan mutlak Bumiputera di Sabah adalah 22.7 peratus manakala di Sarawak pula adalah 11.2 peratus.

Kemiskinan tidak mengenal etnik mahupun lokaliti. Etnik Cina mencapai kadar kemiskinan mutlak pada 1.4 peratus manakala etnik India sebanyak 4.8 peratus. Namun, sudah pasti kemelut kemiskinan yang paling besar adalah dalam kalangan Bumiputera.

Kebanyakan Pandemik Covid-19 terus menjejaskan isi rumah miskin kerana mereka terlibat dalam pekerjaan berkemahiran rendah dan sektor tidak formal yang mudah terdedah kepada kehilangan pekerjaan.

Penularan pandemik ini juga telah memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dengan anggaran peningkatan kadar kemiskinan mutlak nasional kepada 8.4 peratus pada tahun 2020.

Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif dan program bagi menangani kemiskinan, antaranya:

  • Program Peningkatan Pendapatan di bawah Skim Kesejahteraan Rakyat di Luar Bandar oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah berjaya meningkatkan pendapatan 40 peratus peserta dalam program itu sebanyak 30 peratus.
  • Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan yang merangkumi program pembangunan minda insan, perniagaan dan keusahawanan serta latihan dan kemahiran telah memanfaatkan 5,600 peserta.

Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12) pendekatan baharu pembasmian kemiskinan tegar secara holistik telah dirangka di bawah Pemacu Perubahan VI: Mentransformasi Pendekatan bagi Membasmi Kemiskinan Tegar. Kerajaan beriltizam agar miskin tegar dihapuskan pada tahun 2025.

Untuk memastikan pelaksanaan yang lebih berfokus, unit kemiskinan yang khusus dicadang untuk ditubuhkan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah. Unit Kemiskinan telahpun ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 8 November 2021. Beberapa buah negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat negeri dan daerah.

Usaha-usaha pembasmian kemiskinan tegar ini akan diterajui bersama oleh EPU dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM. Ia akan dilaksana secara berfasa melalui pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Fasa Pertama yang akan bermula pada Mac 2022.

Pelaksanaan program ini akan menggunakan pendekatan baharu pembasmian kemiskinan iaitu berdasarkan Pendekatan Keseluruhan Negara (Whole of Nation Approach).

Pendekatan baharu ini juga mengguna pakai pendekatan dari bawah ke atas dan penyelesaian kemiskinan secara bersasar berasaskan keperluan pada peringkat akar umbi.

Pelaksanaan pendekatan baharu ini akan dipantau secara berkala bagi memastikan intervensi yang lebih berkesan serta menetapkan dasar pemisah (exit policy) selepas tempoh dua tahun.

Selain itu, program ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan, swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).

Sebanyak 50 lokaliti terpilih di seluruh negara sedang dikenal pasti untuk pelaksanaan program fasa 1.

Pemilihan lokaliti di semua negeri memberi keutamaan kepada lokaliti dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi merentasi kawasan bandar dan luar bandar tanpa mengira agama, bangsa dan jantina.

Selain daripada 50 lokaliti yang terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan.

ISU DAN CABARAN

Beberapa kelompok tertentu masih dibelenggu kemiskinan. Antara faktor yang menyumbang kepada kemiskinan adalah seperti berikut:

  • Tahap pendidikan yang rendah
  • Kekurangan akses kepada kemudahan infrastruktur asas
  • Kebergantungan kepada satu sumber pendapatan
  • Akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan perumahan mampu milik yang terhad
  • Kos sara hidup yang tinggi
  • Kekurangan keupayaan untuk memanfaatkan peluang ekonomi
  • Mekanisme penyampaian bagi membasmi kemiskinan masih lemah dan tiada penyelarasan
  • Petunjuk untuk mengukur tahap kemiskinan pelbagai dimensi masih kurang komprehensif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *