RAUB – Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub bertindak tegas dengan memusnahkan lebih 600 pokok durian klon Musang King yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Teras di sini, hari ini.
Operasi Teras dilakukan di kawasan ceroboh seluas empat hektar yang diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dipercayai sejak lebih dua tahun lalu.
Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, operasi selama lima jam bermula 9 pagi itu disertai 25 kakitangan dengan pengawasan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
Menurutnya, pihaknya berjaya mengesan kawasan berkenaan selepas melakukan rondaan serta semakan menggunakan Sistem e-Geoformatik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 26 November lalu.
Katanya, hasil siasatan dilakukan mendapati kegiatan penerokaan kawasan berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki yang menggunakan beberapa pekerja warga asing.
“Pokok durian Musang King berusia setahun hingga dua tahun itu ditebang membabitkan nilai dianggarkan lebih RM30,000,” katanya selepas menyertai operasi berkenaan.
Shahril berkata, sepanjang tahun ini PHD Raub melakukan lima operasi membanteras penerokaan hutan simpan secara haram membabitkan kawasan seluas kira-kira 142.7 hektar.
Katanya, Operasi Pamah Hutan Simpan Batu Talam pada Julai lalu adalah kemuncak ketegasan kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan PHD Raub apabila memusnahkan 15,000 pokok durian Musang King membabitkan kawasan seluas 101 hektar yang turut diwartakan sebagai kawasan tadahan air.
Katanya, kawasan lain yang turut terbabit operasi musnah tahun ini ialah Hutan Simpan Sempam, Hutan Simpan Kelau, Hutan Simpan Tersang dan Hutan Simpan Teras.
“Operasi Teras hari ini adalah yang ke enam dilakukan tahun ini, tindakan sama akan dilakukan secara berterusan tahun depan dalam memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan secara haram tidak terus berulang.
“Kita akan mengadakan program menanam pokok balak di kawasan terbabit bermula esok, sebanyak 1,500 pokok pelbagai akan di tanam yang mengambil masa beberapa hari,” katanya.
Kredit: myMetro Online