MARANG – Polis Terengganu hari ini menerima 26 kenderaan pacuan empat roda (4×4) Toyota Hilux GS Cargo baharu untuk membantu penugasan pasukan berkenaan, termasuk melancarkan tugasan ketika banjir dan bencana.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kenderaan yang mampu memuatkan 10 anggota untuk setiap penugasan itu akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Daripada jumlah itu, katanya, sebuah diserahkan kepada IPK Terengganu, IPD Kuala Terengganu (6), IPD Kemaman (4) serta masing-masing tiga kepada IPD Marang, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Dungun.
“Kenderaan ini boleh digunakan untuk membantu melancarkan penugasan ketika banjir dan bencana serta tugas harian termasuk operasi dan Op COVID-19 di Terengganu.
“Sebenarnya, kita dapat 400 pacuan empat roda ini membabitkan kos RM62 juta dan hari ini adalah penyerahan terakhir untuk Kontinjen Terengganu,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan kenderaan berkenaan di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit 6 Wakaf Tapai, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan yang turut menyampaikan sumbangan kepada 35 anggota dan pesara PDRM, berkata pembangunan semula IPD Hulu Terengganu yang kini dalam proses dijangka siap pada April 2024 membabitkan kos kira-kira RM96 juta.
“Balai Polis Redang pula bakal memperoleh 10 unit kuarters baharu bernilai RM13 juta. Pembinaan kuarters ini sudah mendapat kelulusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 2 2022 dengan proses reka bentuk dan tender masih dalam perancangan.
“Kita tengok di Pulau Redang ini sukar untuk anggota menyewa rumah dan sebab itu kita usahakan kuarters ini untuk kemudahan pegawai dan anggota terutama mereka yang bertugas di sana,” katanya.
Kredit: BH Online