Feri Tak Dapat Beroperasi Di Musim tengkujuh

KUALA KRAI – Sejak tiga hari lalu, perkhidmatan bot tambang terpaksa digunakan untuk menyeberangi Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Ia susulan feri yang digunakan sebagai pengangkutan utama dihentikan operasi sementara waktu akibat kenaikan paras air sungai.

Menurut pemandu bot, Amirul Ashraf Zamrim, 27, keadaan cuaca yang tidak menentu selain hujan menyebabkan paras air sungai naik secara mendadak sekali gus menyukarkan untuk membawa kenderaan seperti kereta dan motosikal menggunakan feri.

Katanya, sebaik operasi feri dihentikan buat seketika, dalam sehari, dia terpaksa berulang alik lebih 50 kali untuk menyeberangi sungai dengan jarak antara satu jeti ke satu jeti adalah kira-kira 250 meter (m) menggunakan bot. Pada satu-satu masa, bot hanya boleh memuatkan 10 penumpang serta dua motosikal.

“Jika sebelum ini, feri beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam, namun bot tambang pula hanya beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam untuk membawa penduduk di beberapa buah kampung menyeberangi sungai dengan tambang yang dikenakan adalah RM1.

“Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, saya juga berhadapan beberapa cabaran terutama jika air deras dan perlu sentiasa berwaspada serta berhati-hati bagi memastikan keselamatan penumpang,” katanya ketika ditemui di jeti Kampung Pasir Ira, di sini, hari ini.

Amirul Ashraf berkata, bot tambang terpaksa digunakan ketika musim tengkujuh bagi menggantikan operasi feri untuk memudahkan urusan penduduk yang hendak berulang alik ke bandar Kuala Krai.

“Sudah lebih lima tahun, feri menjadi satu-satunya pilihan penduduk untuk menyeberangi sungai susulan ketiadaan jambatan, namun setiap tahun ketika musim tengkujuh, perkhidmatan feri terpaksa dihentikan operasi sehingga seminggu dan ada kalanya lebih seminggu bergantung kepada paras air sungai.

“Bagaimanapun, pada musim tengkujuh, penduduk terpaksa menggunakan jalan darat untuk ke Pekan Tanah Merah atau Kuala Krai yang mengambil masa selama dua jam,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Nor Azwarina Husin, 18, berkata, perkhidmatan feri amat penting kepada penduduk sekali gus menjimatkan masa serta memudahkan urusan harian.

“Namun, apabila musim banjir tiba dan air sungai menjadi deras, feri tidak akan beroperasi dan ini menjejaskan aktiviti harian penduduk untuk berulang alik ke bandar Kuala Krai.

“Ada antara mereka terpaksa menggunakan jalan jauh untuk ke bandar-bandar berhampiran. Mahu atau tidak, kami tidak mempunyai pilihan dan terpaksa akur walaupun perlu melalui perjalanan yang agak lama berbanding menggunakan perkhidmatan feri.

“Bagaimanapun, penduduk masih berharap supaya sebuah jambatan dibina merentasi sungai itu bagi menggantikan perkhidmatan feri,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *