KUALA BERANG – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pengeluar produk roti Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd menangguh terlebih dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran.
Sebelum ini Gardenia Bakeries bercadang untuk menaikkan harga roti berkuat kuasa 1 Disember depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya berharap Gardenia Bakeries prihatin dengan kesempitan masyarakat sekarang.
“Walaupun menaikkan 10 sen sahaja, namun ia tetap memberi kesan khususnya kepada pengguna B40.
“Oleh itu, KPDNHEP mengharapkan pertimbangan pihak pengeluar produk roti itu untuk menangguh dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran.
“Pelbagai alasan yang diberikan susulan cadangan kenaikan harga itu termasuk kenaikan harga tepung gandum di pasaran,” katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Pengguna Kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Stesen Minyak Petronas, Kuala Berang di sini, hari ini.
Turut hadir pada kempen itu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani.
Tambahnya, pihaknya sudah berbincang dengan Gardenia Bakeries dan memberi cadangan penangguhan kenaikan harga itu.
“Gardenia Bakeries akan memberi jawapan selewat-lewatnya esok sama ada bersetuju membuat penangguhan harga atau sebaliknya.
“Kami akan cari satu jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan masalah itu untuk kebaikan Gardenia Bakeries dan pengguna,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kenaikan harga sayur di pasaran juga menjadi perhatian KPDNHEP.
“KPDNHEP menjalankan Ops Pasar dalam menanggani isu kenaikan harga sayur di pasaran.
“Setakat ini, 43 premis dan 131 barangan diperiksa di seluruh negara dengan 43 Notis Pengesahan Maklumat Bertulis dan 40 Notis Bertulis dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat harga barangan daripada peniaga.
“Pemilik premis diberikan tempoh dua hingga lima hari untuk menjawab notis,” katanya.
Menurutnya, 1,000 pegawai pemantau harga membuat pemantauan harga sayuran setiap hari di 1,500 premis di seluruh negara.
Kredit: myMetro Online